ENAM SUSPEK DITAHAN TERLIBAT TIPU DUTI KASTAM 100 KERETA MEWAH

oleh Firdaus Razani|
Enam suspek bakal didakwa selepas disyaki menjadi sindiket membabitkan penipuan duti kereta mewah di Langkawi pada 15 dan 16 Januari di Mahkamah Alor Setar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semua suspek itu ditahan pada Julai tahun lalu susulan laporan kekurangan kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).

Kegiatan itu mengakibatkan kerajaan mengalami ketirisan kutipan cukai sehingga lebih RM33 juta, antara lain membabitkan Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren, dan Rolls Royce.

“SPRM telah menjalankan satu operasi khas yang dipanggil ‘Op Eagle’ dan mengesan terdapat sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak.

“Keenam-enam suspek akan menghadapi lebih 21 pertuduhan di bawah Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengesan unsur ketirisan dan salah laku rasuah di Pusat Bebas Cukai (PBC), seterusnya menjejak semula 100 kereta mewah disyaki mengelak dikenakan duti kastam.

Pada operasi khas fasa pertama yang dijalankan di utara negara, Johor dan Sabah sekitar Julai tahun lalu, SPRM berkata agensi itu telah berjaya menyita sembilan kereta mewah pelbagai jenama dianggarkan lebih RM12 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Azmi Kamaruzaman, berkata pihaknya sedang menyiasat pemilik kenderaan di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kerana memilik serta melupuskan hasil kegiatan jenayah serius itu.

 

SUMBER : FreeMalaysiaToday