Baru-baru ini kami berkesempatan menemubual Ketua Projek Besar (LPL) Honda WR-V, Poychat Ua-arayaporn, serta Timbalan Ketua Projek Besar (A-LPL), Nattawut Sasitorn untuk mengorek serba sedikit rahsia di sebalik SUV baharu itu.
Berikut merupakan enam perkara menarik berkenaan Honda WR-V yang mungkin perlu anda tahu:
1. Spesifikasi WR-V Malaysia sama macam Thailand, Indonesia
Kami dimaklumkan penawaran spesifikasi Honda WR-V adalah hampir sama dengan dua negara jiran Thailand dan Indonesia.
Ia termasuklah dari segi aspek trenkuasa, transmisi, sistem gantungan, serta aspek keselesaan seperti penebat bunyi yang dipasangkan dari kilang.
Semua hampir sama, kecuali WR-V spesifikasi Malaysia dibekalkan dengan fungsi larasan lampu utama di mana ia adalah tertakluk di bawah undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia.
2. Honda WR-V guna platform apa?
Honda WR-V generasi kedua yang akan muncul di pasaran Malaysia sebenarnya dibangun menggunakan platform BR-V generasi kedua.
Menurut LPL, rekaan daripada bahagian hadapan sehingga ke tiang B menggunakan asas daripada BR-V, namun bermula dari tiang B sehingga ke belakang ia dibangunkan baharu sepenuhnya.
Namun begitu, terdapat beberapa komponen yang diambil daripada Honda Amaze, seperti contoh unit lampu hadapan, bonet, dan panel pintu hadapan, diikuti dengan susun atur papan pemuka.
3. Kenapa tempat duduk hadapan WR-V lebih pendek?
Ini merupakan satu persoalan yang timbul sewaktu kami memandu uji unit WR-V spesifikasi Thailand tempoh hari.
Berbanding tempat duduk belakang, dimensi kusyen hadapan agak pendek dan ini mampu menimbulkan ketidakselesaan terutama sewaktu melakukan pemanduan jarak jauh.
Menurut LPL, dimensi kusyen hadapan yang agak pendek bertujuan untuk memastikan operasi kaki yang lebih selamat sewaktu pemanduan dibuat.
Cuma pada pendapat kami, tiada salahnya jika pihak R&D Honda memanjangkan sedikit dimensi kusyen hadapan tersebut untuk keselesaan yang lebih, dan tidaklah sepanjang masa merasakan kaki tergantung.
Almaklumlah, rata-rata rakyat Malaysia gemar menjadikan kereta mereka sebuah kenderaan pelbagai guna. Balik kampung, pergi pasar, jalan-jalan cari makan dan bekerja mencari nafkah.
A-LPL menambah, sokongan untuk bahagian bawah peha mungkin agak berbeza untuk tempat duduk fabrik dengan tempat duduk balutan kulit. Mungkin ada masa kami akan mencuba sendiri perbezaan antara kedua-dua tempat duduk tersebut.
4. Enjin sama dengan City, jadi apa bezanya dengan WR-V?
Sama seperti Honda City (sedan dan hatchback), Honda WR-V 2023 menggunakan tetapan enjin dan kotak gear yang sama.
Nadi empat silinder sebaris 1.5 liter i-VTEC, 121 PS dan 145 Nm, transmisi CVT, pacuan roda hadapan.
Namun menurut Honda, ada perbezaan yang diberikan antara kedua-dua model ialah dari segi talaan CVT untuk disesuaikan dengan peningkatan saiz tayar yang digunakan, supaya ia memberikan pengalaman pecutan yang lebih baik.
A-LPL menambah, CVT pada Honda WR-V telah diberikan fungsi Step Shift Control bagi menjadikan aspek pemanduan yang lebih mengujakan, dan tidak terlalu membosankan seperti tipikal transmisi CVT.
5. Adakah WR-V akan ditawarkan dengan trenkuasa lain, seperti e:HEV?
Pihak Honda memaklumkan mereka sedang dalam perancangan untuk mengembangkan lagi penawaran WR-V termasuklah memperkenalkan varian e:HEV untuk model akan datang.
Namun buat masa sekarang ini, Honda WR-V hanya boleh didapati dengan pilihan tunggal enjin 1.5 liter i-VTEC sahaja.
6. Aspek paling mencabar dalam pembangunan WR-V: capai sasaran EEV Malaysia!
Menurut LPL dan A-LPL Honda WR-V, antara aspek yang paling mencabar dalam membangunkan SUV terkecil itu ialah untuk memenuhi sasaran EEV yang ditetapkan oleh Malaysia.
Ini kerana piawaian EEV yang digunakan di Malaysia merupakan antara yang paling ketat berbanding negara-negara ASEAN yang lain.