EMPAT MAUT KEMALANGAN MYVI DAN AXIA DI JRTB GERIK - JELI

oleh Hamimah Hamid|
EMPAT individu maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 64, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, pasangan suami isteri berusia 29 dan 24 tahun menaiki Perodua Myvi maut di tempat kejadian bersama penumpang wanita Perodua Axia berusia 27 tahun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seorang lagi mangsa, wanita berusia 30 tahun yang juga pemandu Perodua Axia pula menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik  pukul 8.38 malam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan, kemalangan turut menyebabkan seorang wanita berusia 30 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun cedera.

Katanya, siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Jeli menghala Gerik manakala sebuah kereta lagi dari arah Gerik menghala ke Jeli.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, kereta Perodua Axia dari arah bertentangan telah melanggar bahagian sebelah kiri Perodua Myvi.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang Perodua Myvi serta penumpang Perodua Axia cedera parah, maut di tempat kejadian,” katanya. 

Menurut beliau, pemandu Perodua Axia dan kanak-kanak lelaki yang cedera dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan. 

Namun pemandu Perodua Axia menghembuskan nafas pada jam 8.38 malam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya