Elon Musk Dakwa Perlukan USD 1 Trilion Untuk “Kawal Tentera Robot Tesla”

oleh Qalif Latif|
CEO Tesla, Elon Musk sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mendakwa beliau memerlukan USD 1 trilion (anggaran RM4.77 trilion) bagi mendapatkan lebih banyak kawalan terhadap Tesla, kononnya untuk mengawal apa yang disebutnya sebagai “tentera robot”.

Dalam satu perjumpaan bersama pelabur sempena laporan kewangan suku ketiga Tesla, Musk berkata beliau bimbang tentang masa depan jika “robot army” Tesla dibina tanpa dia mempunyai pengaruh yang mencukupi dalam syarikat itu.

Kebimbangan utama saya ialah jika saya membina tentera robot yang besar ini, adakah saya boleh digulingkan pada masa depan? Itulah sebab utama saya mahu lebih kawalan, bukan untuk duit, tapi supaya saya masih boleh mempengaruhi apa yang berlaku dengan tentera robot itu,” katanya.

Walaupun beliau kemudian memperbetulkan ayatnya dengan menyebut “strong influence” dan bukan “control”, ramai pemerhati berpendapat kenyataan awal itu menggambarkan hasrat sebenar Musk.

 

Tesla Robot

Robot Army” Tesla dan Isu Kawalan

Kenyataan itu muncul ketika para pemegang saham sedang mengundi sama ada mahu meluluskan pelan pampasan Musk bernilai USD 1 trilion, satu jumlah luar biasa apatah lagi ketika keuntungan Tesla dilaporkan merosot sekitar 40 peratus walaupun pasaran EV global terus berkembang.

Tesla Robot

Musk mendakwa beliau memerlukan lebih banyak pegangan saham, dari kira-kira 13% kini kepada sekitar 25%, supaya beliau dapat “menjamin keselamatan” pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan robot humanoid Tesla, Optimus.

Namun, setakat ini robot Optimus masih belum menunjukkan keupayaan sebenar yang menakutkan. Video demonstrasi yang pernah ditayangkan menunjukkan robot tersebut dikawal secara jauh (teleoperated), dan beberapa aksi “kung-fu” yang tular baru-baru ini juga disahkan sebagai koreografi pra-rancang.

Tesla Robot

Kritikan Terhadap Sikap dan Ideologi Musk

Kebimbangan masyarakat bukan sekadar tentang robot. Musk kini dikritik hebat kerana retorik dan tindakannya yang dianggap ekstremis. Beliau pernah dilihat membuat isyarat Nazi secara terbuka, menyokong tokoh pelampau di Eropah, dan mengeluarkan kenyataan yang berbaur rasis di platform media sosial miliknya.

Tesla Robot

Tindakan itu bukan sahaja mencemarkan imej peribadinya tetapi turut menjejaskan reputasi Tesla di banyak negara seperti UK, Australia, Jerman dan Denmark. Jualan Tesla di pasaran-pasaran tersebut dilaporkan merosot susulan boikot pengguna dan tekanan pelabur.

Musk Marah Pada Penganalisis dan Sebut Mereka “Terrorist”

Dalam sesi sama, Musk turut menyerang dua firma penasihat pelabur utama, ISS dan Glass Lewis, dengan memanggil mereka “terrorist korporat” kerana menasihatkan pemegang saham supaya mengundi menolak pelan gaji besar beliau.

Saya tak selesa membina tentera robot ini dan kemudian digulingkan hanya kerana cadangan bodoh ISS dan Glass Lewis yang tak tahu apa-apa,” katanya.

Firma ISS dan Glass Lewis sebelum ini mencadangkan agar pelabur menolak pakej gaji Musk bernilai USD 55 bilion pada 2018, yang kemudiannya didapati tidak sah oleh mahkamah.

Walaupun Musk sering mendakwa mahu “melindungi manusia daripada ancaman AI”, kenyataan terbarunya lebih menyerupai fantasi sains fiksyen, seorang bilionair mahu membina tentera robot di bawah kawalan peribadinya.

Dengan nilai syarikat Tesla kini sekitar USD 600 bilion, permintaan Musk untuk ganjaran USD 1 trilion bagi mendapatkan lebih kuasa menimbulkan persoalan besar: adakah ini tentang keselamatan manusia atau sekadar ego seorang jutawan yang obses dengan pengaruh dan kawalan?

Sumber: Electrek

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Bagi merealisasikan impian itu, Musk menganggarkan SpaceX perlu membina sekitar 1,000 unit…
Berita Global
Keputusan itu dibuat hampir dua tahun selepas Mahkamah Chancery Delaware membatalkan pakej pampasan…
Berita Global
Latar Belakang Perselisihan Musk dan Waymo Kenyataan Musk itu tercetus selepas perbualan tentang…