Elon Musk - 10 peratus pekerja Tesla akan dibuang

oleh SALINA JALIL|
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk 'merasakan sesuatu yang amat buruk' akan berlaku dalam ekonomi dan ada keperluan untuk mengurangkan 10 peratus pekerja di syarikat pengeluar kereta elektrik itu, katanya dalam satu e-mel yang dilihat oleh Reuters.


Satu mesej yang dihantar kepada eksekutif menyatakan kebimbangannya itu dan memberitahu untuk 'menghentikan semua pengambilan di seluruh dunia'.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

 

Tinjauan yang suram dibuat dua hari selepas bilionair itu memberitahu kakitangan supaya kembali ke tempat kerja atau meletakkan jawatan, sekali gus menambah kepada meningkatnya amaran dalam kalangan pemimpin perniagaan mengenai risiko kemelesetan.

 

Saham Tesla jatuh sembilan peratus dalam dagangan di Amerika Syarikat (AS) semalam selepas laporan Reuters.

 

Dalam satu e-mel kepada kakitangan pada Jumaat, Musk berkata Tesla akan mengurangkan 10 peratus jumlah kakitangan, kerana syarikat itu 'berlebihan pekerja di kebanyakan jabatan'.

 

"Namun, jumlah jam bekerja akan meningkat," katanya.

 

"Perlu diingatkan, ini tidak terpakai kepada mereka yang membina kereta, pek bateri atau memasang solar," tulis Musk dalam e-mel yang dilihat oleh Reuters itu.

 

Hampir 100,000 orang diambil bekerja di Tesla dan anak-anak syarikatnya setakat akhir 2021, demikian menurut makluman tahunan SEC.

 

Ia tidak memperincikan jumlah pekerja bergaji tetap dan dibayar mengikut jam.

 

Musk sejak beberapa minggu kebelakangan ini memberikan amaran mengenai risiko kemelesetan, namun e-mel yang mengarahkan pembekuan pengambilan pekerja dan pemberhentian itu adalah mesej paling berprofil tinggi seumpamanya daripada ketua sebuah syarikat pengeluar kereta.

 

"Elon Musk memperoleh pandangan bermaklumat yang unik mengenai ekonomi global. Kami percaya bahawa mesej daripadanya membawa kredibiliti yang tinggi," kata penganalisis Morgan Stanley, Adam Jonas, dalam satu laporan.

 

Permintaan bagi kereta Tesla dan kenderaan elektrik (EV) lain kekal kukuh buat masa ini dan kebanyakan petunjuk tradisional penurunan, termasuk pertambahan inventori pengedar dan insentif di AS, tidak berlaku.

 

Namun, Tesla bergelut untuk memulakan semula pengeluaran kilang di Shanghai selepas sekatan COVID-19 menyebabkan gangguan yang menelan belanja amat besar.

 

"Adalah bagus untuk melaksanakan langkah penjimatan pada masa yang baik berbanding buruk. Saya melihat kenyataan itu sebagai amaran awal dan langkah berjaga-jaga," kata penganalisis NordLB berpangkalan di Hannover, Frank Schwope.

 

Tinjauan suram Musk itu menyusuli kenyataan serupa daripada beberapa eksekutif termasuk CEO JPMorgan Chase & Co, Jamie Dimon dan Presiden Goldman Sachs, John Waldron.

 

"Ribut semakin hampir akan melanda kita," kata Dimon minggu ini.

 

Inflasi di AS berada pada paras tertinggi 40 tahun dan menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat, manakala Rizab Persekutuan berdepan tugas sukar meredakan permintaan dengan secukupnya untuk membendung inflasi sambil tidak mencetuskan kemelesetan.

 

 

- Reuters

Berita Berkenaan

Berita Global
  Pekerja kilang dijangka tidak terkesan, kata laporan berkenaan. Bloomberg berkata, kira-kira 8,…
Berita Global
Menurut laporan daripada Bloomberg, langkah pemberhentian pekerja itu akan bermula pada musim panas…
Berita Global
Menurut laporan daripada Bloomberg, pengeluar itu dikatakan menghantar emel berbentuk tips kepada…