Kemasukan semula ini juga adalah kali pertama versi asli Mini Moke yang asal dijual di Amerika Syarikat dalam tempoh lebih empat dekad.
Satu lagi, model ini sah digunakan di lebuh raya di Amerika Syarikat.
Berapa kelajuan Electric MOKE Californian? Biasa sahaja iaitu 80 km/j dan dengan cas penuh kereta ini boleh dipandu sejauh 120 kilometer.
Tempoh pengecasan penuh pula memerlukan empat jam menggunakan pengecas US Type 1.
Menyoroti sejarah, Mini Moke direka oleh Sir Alec Issigonis, individu sama yang merekabentuk Mini.
Prototaip Mini Moke dihasilkan oleh British Motor Corporation pada 1959 dengan kod nama The Buckboard.
Kereta ini asalnya direka sebagai kenderaan ketenteraan ringan yang boleh dijatuhkan menggunakan payung terjun ke kawasan perang.
Selepas itu adalah sejarah dengan Mini Moke menjadi kenderaan serba guna dan gaya hidup.
Electric MOKE Californian digerakkan motor elektrik 44 hp dan berat tidak sampai 800 kilogram.
Kereta pacuan roda belakang ini boleh memecut dari 0-55 km/j dalam masa 4.3 saat dan seperti yang dinyatakan di atas kelajuan maksimum setakat 80 km/j sahaja.
Jarak pemanduan pendek, tidak laju dan tanpa pintu. Itu semua tidak menjadi masalah memandangkan Electric MOKE Californian bukan seperti kereta biasa.
Harga belum didedahkan dan akan dikongsi dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin