Bagaimanapun tuntutan berkenaan hanya boleh dibuat ke atas kenderaan persendirian yang diiringi pihak berkuasa pada ketika kejadian dan tidak membabitkan mana-mana kenderaan milik kerajaan.
Jurucakap Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, sekiranya berlaku kemalangan membabitkan kenderaan persendirian dengan kenderaan polis, maka tuntutan akan dibuat ke atas insurans pemilik kenderaan persendirian itu sendiri.
"Secara kebiasaan ia akan dibuat bergantung kepada rundingan atau budi-bicara di antara pemandu kenderaan persendirian dengan pemandu kenderaan polis terbabit.
"Bagaimanapun pemandu kenderaan persendirian boleh membuat tuntutan ke atas kenderaan milik persendirian yang sedang diiringi pihak berkuasa dalam apa-apa situasi bergantung kepada kesalahan ketika kejadian kemalangan itu berlaku," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Beliau berkata, kemalangan membabitkan kenderaan persendirian dengan kenderaan milik kerajaan yang berada dalam situasi kecemasan seperti kawalan pihak polis membawa orang kenamaan, ambulans, bomba serta jabatan penguatkuasaan lain, secara kebiasaan akan dituntut berdasarkan insurans pemilik kenderaan persendirian.
"Ini kerana penggunaan kenderaan kerajaan yang dalam situasi kecemasan ini akan menggunakan siren yang seharusnya diberikan keutamaan oleh mana-mana pemandu.
"Selain itu, sekiranya berlaku kemalangan di antara pemandu kenderaan persendirian dengan pemandu kenderaan persendirian lain akibat laluan konvoi iringan polis, bomba atau ambulans, maka proses tuntutan insurans akan dibuat secara normal berdasarkan situasi kejadian kemalangan," katanya.
Sebelum ini tular rakaman video pendek di mana konvoi dua trak tunda diiringi polis memotong di garisan berkembar di Jalan Gua Musang sehingga mengundang kecaman orang ramai.
Sumber: Berita Harian