Ekspresi Kia Picanto baharu bukti saiz bukan pengukur prestasi hebat!

oleh Afandi Che Muhamad|
Berpeluang memandu uji Kia Picanto baharu bersama-sama pengamal media lain semalam, Naza Kia Malaysia mengajak kami ke Melaka bagi merasai prestasi tawaran hatchback yang tergolong dalam segmen A itu.

Tidak dinafikan, penulis pada awalnya mempunyai pandangan skeptikal terhadap jenama berkenaan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Bukan apa, jika kita lihat Kia sebelum ini dihasilkan dengan reka bentuk dan teknologi yang pada pendapat penulis berada di tahap ‘biasa-biasa sahaja’.

Sudah lah kurang menarik, nilai jualan semula kenderaan Kia pula cukup rendah.

Tapi itu semua cerita lama kerana sejak lapan tahun kebelakangan ini, corak penghasilan kenderaan itu berubah sama sekali.

Kini, rekaan yang digarapkan ke atas setiap model terbaharu keluarannya kelihatan lebih energetik dan moden.

Mengambil Kia Picanto sebagai contoh terdekat, hatchback berkenaan disuntik dengan fitur sama seperti yang ada pada model 'abangnya' seperti Cerato dan Optima K5.

Kelebihan itu dijelaskan menerusi risalah yang terdapat di dalam kereta unit pandu uji tersebut.

Membacanya sahaja sudah membuatkan penulis berasa teruja untuk menguji prestasi dimiliki Kia Picanto baharu ini.

Jujur, impresi pertama penulis sebaik terpandang unit pandu uji Kia Picanto 1.2 EX Automatik yang diparkir di pekarangan pejabat Naza Kia di Petaling Jaya itu cuma satu.

Ringkas tapi garang! Ia jelas mengalas watak berbeza berbanding dengan model terdahulu.

Masih menggayakan gril geometri sama seperti model terdahulu dengan rekaan seakan hidung harimau, karakter garang itu bertambah terserlah dengan pemasangan lampu utama projektor LED dengan lampu pencahayaan siang (DRL).

Terdapat tujuh aspek transformasi atau lebih mudah disebut sebagai penambahbaikan baharu yang dilakukan ke atas Kia Picanto baharu ini.

Pertama, ia dikuasakan dengan nadi enjin Kappa II berkapasiti 1.2 liter sambil dibantu padanan kotak transmisi automatik empat kelajuan.

Tahukah anda? 'Jantung' jentera berkenaan berupaya meledakkan kuasa maksima 83Hp pada 6,000rpm manakala puncak tork pula mencecah 122Nm sekitar 4,000rpm.

Prestasi hebat yang diterjemah enjin tersebut dapat dirasai penulis sebaik unit dipandu memasuki laluan lurus di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.

Sesekali memerah enjin kereta berkenaan bekerja lebih keras, cetusan kuasa dihasilkan benar-benar lancar dan mengagumkan bagi sebuah kenderaan kompak sepertinya.

Paling menarik, keadaan di dalam ruang kabin Kia Picanto baharu ini sangat senyap walaupun dihempas tamparan angin kuat sepanjang perjalanan ke bandar bersejarah itu.

Menurut sumber Naza Kia sendiri, implementasi enjin berkenaan tidak hanya menawarkan prestasi terbaik bahkan turut cekap minyak (jimat petrol).

Kedua, Kia Picanto baharu didatangkan dengan ruang kabin yang lebih luas dan selesa.

Difahamkan, jarak antara roda model generasi ketiga Picanto ini bertambah sebanyak 15 milimeter (mm) berbanding model sebelumnya.

Selain itu, Naza Kia memberitahu ketinggian kerusi depan telah direndahkan sebanyak 10mm sebelum pihaknya kemudian bertindak menganjakkan posisi 5mm ke belakang.

Katanya, inisiatif itu dijalankan bagi meningkatkan ruang bagi menempatkan kepala kepada 3mm lebih luas sementara posisi perehat kaki pula meningkat lagi 15mm.

Ketiga, Kia Picanto baharu hadir dengan pakej keselamatan bertaraf lima bintang.

Pakej tersebut termasuk platform casis binaan berasaskan Keluli Kekuatan Tinggi Termaju (AHSS) yang dikatakan lebih kuat berbanding kebiasaan selain ciri lain seperti enam unit beg udara, kerusi ISOFIX, tali pinggang keledar belakang prabeban, Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC).

Keempat, ambien mewah susun atur papan pemuka lengkap sistem infotainmen dengan ciri canggih Android Auto dan Apple CarPlay pada skrin paparan LCD tujuh inci yang melatari sebahagian besar ruang dalaman Kia Picanto baharu ini.

Harus diketahui, sistem yang sama itu juga turut merangkumi fungsi pengecaman suara, Bluetooth, Auksiliari (AUX) dan sambungan USB.

Penyediaan sistem berkenaan membolehkan pemandu juga penumpang mengakses telefon pintar mereka untuk mendengar muzik, membuat panggilan, menghantar mesej atau menggunakan perkhidmatan navigasi (GPS).

Pasti meriah suasana di dalam ruang kabin Kia Picanto ini bukan? 

Tidak cukup dengan itu, Kia Picanto baharu juga tersedia dengan aplikasi sistem penghidup enjin tanpa kunci, Sistem Bantuan Parkir Belakang (RPAS) dan cermin sisi elektronik (jenis boleh buka dan lipat).
 

Kelima, ruang bagasi di but bahagian belakang Kia Picanto baharu lebih luas berbanding model generasi kedua.

Kapasiti ruang penyimpanan barangan berkenaan diperluaskan kepada 255 liter daripada 200 liter pada model lama.

Keenam, sistem suspensi yang dipasangkan efisien dalam tugasnya terutamanya ketika melalui laluan selekoh dengan permukaan jalan beralun sekitar Pedas menuju ke Tangga Batu, Melaka.

Komponen tersebut menjanjikan pemanduan yang stabil, penulis perasan olengan badan Kia Picanto dipandu tidak 'membuai' seperti hatchback lain yang sekelas dengannya.

Selain sistem suspensi, faktor berkenaan antara lain turut dibantu fungsi stereng berkuasa elektrik yang responsif.

Ketujuh, Kia Picanto baharu kini tampil dengan pelbagai warna untuk pilihan pengguna seperti jingga (Pop Orange), hijau (Lime Light), kuning (Honey Bee), putih (Clear White) dan perak (Titanium Silver).

Secara peribadi, penulis sukakan ekspresi Kia Picanto baharu ini.

Penawaran pakej dan harga RM49,888 seunit (tanpa insurans) yang diletakkan bagi hatchback itu jika diperkira cukup berpatutan dan berbaloi untuk wang anda.

Spesifikasi Kia Picanto 1.2 EX

Enjin : Kappa 1.2L
Transmisi : Automatik empat kelajuan
Kuasa maksimum : 83Hp pada 6,000rpm
Tork maksimum : 122 Nm pada 4,000rpm

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Panggilan telefon yang kami terima ialah dari syarikat Bermaz dan mereka mahu informasi berkaitan…
Hezeri Samsuri
Ramai menghela nafas lega kerana veteran industri automotif, Datuk Ben Yeoh pastinya akan membawa…
Berita Domestik
  Pusat 3S ini telah dirasmikan pada tahun 2011, diikuti dengan Red Cube Johor Bahru dan pada…