Eksesais Taming Sari 20/21 pamer kekuatan sebenar TLDM

oleh Mohamad Hanif|
Baru-baru ini, Tentera Laut Diraja Malaysia mempamerkan kekuatan aset mereka menerusi Eksesais Taming Sari 20/21, di mana ia dibuktikan dengan kejayaan penembakan peluru berpandu EXOCET MM40 dan EXOCET SM39.

Eksesais yang dilaksanakan itu melibatkan 1,080 warga TLDM, TUDM serta APMM, di mana ia terdiri daripada sembilan buah kapal (KD Lekiu, KD Lekir, KD Jebat, KD Mahawangsa, KD Gagah Samudera, KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Ganyang, KD Kinabalu dan KD Sundang), lima buah Fast Combat Boat (FCB), sebuah kapal selam KD Tun Razak, dua buah Super Lynx TLDM, empat pesawat TUDM (B200T, EC 725, F/A 18D Hornet) dan dua aset APMM.

Tujuan Eksesais Taming Sari 20/21 adalah untuk mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar dalam aspek perancangan dan pelaksanaan di lapangan di dalam meningkatkan tahap kesiagaan aset-aset TLDM, selain menguji keupayaan peralatan pengesanan, penjejak dan sistem pelancar misil.

Menurut Ismail Sabri yang menyaksikan sendiri Eksesais Taming Sari 20/21 itu berkata, kejayaan penembakan kesemua peluru berpandu itu mengenai sasaran jelas membuktikan profesionalisme, keupayaan dan kesiagaan TLDM dalam mengendalikan aset pertahanan negara.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan (TLDM) dijangka menerima dua lagi kapal misi pesisir (LMS) menjelang penghujung tahun ini dari China.

 


Sumber: Utusan Malaysia