Edison Motors bakal buka kilang pemasangan bas elektrik di Malaysia - MARii

oleh Mohamad Hanif|
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menjalin kerjasama dengan konsortium yang terdiri daripada syarikat Korea Selatan, Edison Motors Co Ltd, dan sebuah syarikat Malaysia, untuk membuka kilang pemasangan bas elektrik pertama di Malaysia.
Modenas

Perkongsian itu dimulakan dengan pelaburan awal sebanyak US$100 (RM417 juta).

Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, kedua-dua pihak juga membincangkan kemungkinan pemindahan teknologi.

Mesyuarat itu berlangsung sempena penyertaan Darell dalam lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Seoul, yang berakhir semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata satu kajian dijangka dijalankan seawal bulan depan untuk menentukan saiz kumpulan bas,kilang serta penyetempatan komponen dan peralatan.

Beliau berkata Edison Motors dipilih kerana rekod baiknya sebagai pembekal bas elektrik komersil pertama di dunia dan peneraju jualan bas elektrik di Korea Selatan, serta badan komposit canggih bagi bas elektrik dan bas yang menggunakan gas asli mampat (CNG).

"Bas elektrik syarikat itu mempunyai reka bentuk berorientasikan masa depan, prestasi terkini dan harga berpatutan," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat itu pada Rabu.

Beliau berkata syarikat itu juga membekalkan bas elektrik kepada Jepun.
 


Madani berkata kerjasama itu akan memanfaatkan kepakaran MARii dalam ‘powertrain’ dan telematik kenderaan elektrik, pemindahan teknologi kepada pengilang bas elektrik tempatan dan sebagai pembekal berpotensi casis kepada pembina bas domestik.

Beliau berkata kerjasama itu menyasakan untuk membekalkan bas elektrik ke rantau domestik dan ASEAN.

Untuk meluaskan impak projek itu, beberapa peringkat pemasangan dirancang di Sabah untuk untuk negeri itu selain kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina.

Sementara itu, Leiking juga mempengerusikan mesyuarat dengan MARii dan EN Technologies Inc dari Korea Selatan untuk memperkenal sistem penyimpanan tenaga (ESS) di Malaysia.

Madani berkata ESS akan melibatkan susun atur awal sebanyak US$50 (RM208.5 juta) dan boleh digunakan untuk mikrogrid, integrasi boleh baharu, rizab berputar, penggunaan puncak sumber kuasa tanpa gangguan (UPS).

"ESS sangat berkos efektif dan bersih. Dengan menyimpan tenaga yang dihasilkan dalam bateri dan melepaskannya apabila diperlukan, ESS meningkatkan kualiti tenaga dan kebolehpercayaan sumber tenaga. Apabila ESS disepadukan dengan tenaga boleh baharu, seperti solar, ia dapat meningkatkan daya tampung sumber tenaga," katanya.

Madani berkata mesyuarat itu juga membincangkan pemindahan teknologi untuk ESS dari EN Technologies kepada syarikat Malaysia dan perundingan mengenai teknologi lain yang diperlukan seperti bateri dan inverter.

Pemindahan teknologi termasuk perisian dan pengecas kenderaan elektrik untuk kereta dan bas.

Sumber: Bernama

Add new comment