Edar dadah guna dron antara JB-Singapura

oleh Mohamad Hanif|
Polis sudah mengenalpasti identiti suspek yang dipercayai sindiket penyeludupan dadah menggunakan dron antara Johor Bahru dan Singapura.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Menerusi kerjasama jalinan Polis Kontinjen Johor dan Biro Anti Narkotik (CNB) Singapura, semua suspek sama ada dari Johor dan negara jiran itu sudah dikenalpasti.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata perkongsian dan pertukaran maklumat antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan CNB Singapura sedang giat dijalankan.

"Berkaitan dengan kegiatan menyeludup dadah menggunakan dron ke Singapura, polis Johor sudah sedia maklum mengenai kes ini.

"Melalui kolaborasi pihak CNB Singapura dan JSJN IPK Johor, suspek terbabit sudah dikenal pasti dan usaha mengesan dan menangkap suspek terbabit sedang dilaksanakan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau mengulas laporan media Singapura berkenaan tiga lelaki dan seorang wanita ditahan kerana didakwa mengedar dadah menggunakan dron yang diterbangkan antara Kranji (Singapura) dan Johor Bahru (Malaysia).

Namun, Ayob Khan tidak mendedahkan perincian mengenai sindiket dadah yang menggunakan dron itu untuk tidak mengganggu siasatan kes berkenaan.

Berita Mediacorp semalam melaporkan kenyataan bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) dan CNB bahawa data penerbangan diambil menerusi telefon seorang daripada suspek menunjukkan bahawa pesawat tanpa pemandu itu terbang dari Kranji ke Johor Bahru dan kembali lagi ke Kranji.

Terdahulu, kira-kira jam 5.45 petang 17 Jun lalu, polis mengesan aktiviti pesawat tanpa pemandu yang luar biasa di sekitar Taman Takungan Kranji dan memerhatikan sebuah pesawat tanpa pemandu, dengan beg yang terpasang di atasnya, melayang di udara.

Siasatan awal mendapati beg itu mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat sekitar 278 gram (g). Polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun, dipercayai pengendali dron terbabit.

Dalam operasi susulan oleh CNB pada keesokan harinya, seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun, kedua-duanya warga Singapura, ditangkap.

Kira-kira 389 gram syabu, 8 gram heroin, 195 tablet ecstacy dan dua tablet erimin-5, yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$44,000 (RM134,355), dirampas.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
“Semasa PKP fasa pertama kita kesan tokan-tokan dadah ni banyak menggunakan motosikal, tetapi dalam…
Berita Domestik
Malah, kedua-dua lelaki berusia 51 dan 46 tahun itu cuba pula memberi rasuah RM5,000 kepada anggota…