ECRL bina landasan berkembar bagi laluan Pelaburan Klang-Pelaburan Utara, Barat

oleh Penyumbang Rencana|
Kabinet meluluskan cadangan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk mengubah skop pembinaan daripada landasan tunggal dwi tolok kepada landasan berkembar bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, ia membabitkan jajaran dari Stesen Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Utara (Northport) dan Pelabuhan Barat (Westports) sepanjang 25 kilometer.

Menurutnya, pengubahan skop pembinaan dikenali sebagai Seksyen D tidak memerlukan peruntukan tambahan daripada kerajaan serta tidak akan meningkatkan kos pembangunan keseluruhan projek ECRL.

"Bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel kargo serta kecekapan pengangkutan rel ke Northport dan Westports, Kabinet bersetuju untuk membina landasan berkembar, yang merangkumi landasan tolok standard baharu bagi perkhidmatan ECRL serta mengekalkan landasan tolok meter sedia ada bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Perubahan skop kepada landasan berkembar ini dijangka memberikan impak besar dengan membolehkan perkhidmatan KTMB dan ECRL beroperasi secara bebas tanpa bergantung antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Peluncuran Malaysia Maritime Single Window (MMSW),pada Isnin.

Anthony berkata, landasan berkembar itu juga akan memperkukuhkan kecekapan industri perdagangan import-eksport negara apabila projek ini siap sepenuhnya.

Katanya, anggaran kos pembinaan projek ECRL selepas ditambah skop baharu di Seksyen D adalah lebih rendah berbanding kos pembinaan yang dimeterai pada 2017 yang mana jajaran ECRL pada masa itu hanya berakhir di Stesen Jalan Kastam tanpa penyambungan ke Northport dan Westports.

"Jajaran Seksyen D ini memainkan peranan strategik dengan melengkapkan jambatan darat atau menghubungkan pelabuhan-pelabuhan di Pantai Timur dengan pelabuhan-pelabuhan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia melalui ECRL, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kereta api untuk pengangkutan kargo bagi kedua-dua perkhidmatan ECRL dan KTMB," katanya.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijadualkan siap pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.

Manakala, sambungan jajaran rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kumpulan ini dikenali sebagai Geng Acu dan empat daripada lima lelaki terbabit secara langsung…
Berita Domestik
Projek hampir siap dan ikut jadual Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata penerimaan…
Berita Domestik
Pelantikan ini dimeterai di Stesen ECRL KotaSAS, Kuantan, bersempena majlis ketibaan tren…