eBussy - EV dengan platform modular, boleh bertukar jadi apa sahaja!

oleh Mohamad Hanif|
Di dalam seni bina yang digunakan pada kenderaan elektrik, reka bentuk modular merupakan antara pilihan yang boleh diadaptasikan pada sesebuah platform yang membolehkan beberapa jenis kenderaan dihasilkan tanpa perlu modifikasi yang besar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Rekaan ini turut digunakan oleh sebuah jenama dari Jerman, Electric Brands menerusi pengenalan model berkuasa elektrik sepenuhnya, eBussy.

 


Dengan rekaan modular sepenuhnya, eBussy boleh ditukarkan menjadi sebuah minivan, pikap, serta 10 lagi jenis bentuk badan yang bakal ditawarkan oleh Electric Brands, termasuklah campervan!

Malah, ia sangat versatil di mana eBussy boleh menawarkan format pemanduan di sebelah kanan, atau sebelah kiri dengan hanya semudah 'mengalihkan' posisi stereng dan pedal.

 


Ini kerana binaan eBussy menggunakan konsep drive-by-wire, di mana komponen seperti roda stereng atau pedal tidak bersambung secara mekanikal kepada roda hadapan.

Secara asasnya, model eBussy hadir dengan pek bateri berkapasiti 10 kWh dengan jarak operasi sejauh 200 km untuk sekali cas penuh.

Opsyen bateri yang lebih besar (30 kWh) turut ditawarkan dengan jarak operasi yang mampu mencecah sehingga 600 km.

 


Untuk menggerakkan kesemua roda, eBussy menggunakan motor elektrik jenis in-hub pada keempat-empat roda yang 'hanya' mampu menghasilkan 20 kuasa kuda, namun dengan angka daya kilas yang amat impresif, 1,000 Nm!

Selain daripada itu, berat eBussy juga hanyalah sekitar 450 kg sehingga 600 kg bergantung kepada jenis badan yang dipilih, dan ia amat sesuai untuk digunakan dalam bandar.

 


Antara ciri lain yang didatangkan termasuklah panel solar yang dipasang pada bumbung, dan juga sistem pemulihan tenaga brek.

Dari segi jualan, ia ditawarkan pada harga bermula dari €15,800 (RM78,872) bergantung kepada stail badan yang dipilih, serta tidak termasuk opsyen pakej off-road.

Nakkan versi Offroad Camper? Harga jualannya hanyalah sekitar €28,800 (RM143,767) sahaja.