Jika anda menunggu untuk harga yang lebih sesuai untuk membeli E-Class baharu, inilah masanya. Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan E-Class pemasangan tempatan (CKD) yang secara keseluruhan jauh lebih murah dari E-Class yang diimport sepenuhnya (CBU).
Dilengkapkan dengan ciri-ciri yang terbaik, E 200 Avantgarde kini berharga RM348,888 (RM47,000 lebih murah dari CBU), E 250 Avantgarde RM378,888 (RM42,000 lebih murah dari CBU) dan E 250 Exclusive pula berharga RM383,888 (RM42,000 kurang dari CBU).
Walaupun setiap varian E-Class mempunyai ciri-ciri tersendiri dari segi kelengkapan dan hiasan, namun enjin yang digunakan adalah sama, iaitu 2.0 liter turbo 4 silinder. E 200 mempunyai kuasa kuda 184 hp dan tenaga tork sebanyak 300 Nm manakala E 250 pula 211 hp dan tenaga tork sebanyak 370 Nm. Kadar penggunaan bahanapi kedua-dua varian ialah 5.9 liter setiap 100 km.
Kotak gear ialah dari jenis 9 kelajuan 9G-Tronic yang bakal memberi penukaran gear yang lancar dan senyap tidak kira kelajuan.
Antara kelengkapan yang menarik pada E-Class baharu ialah lampu depan jenis Multibeam LED, yang berupaya memancarkan kadar cahaya lampu yang mencukupi untuk menyinari jalanraya dihadapan tanpa mengaburkan mata pemandu dari arah bertentangan.
Di dalamnya ternyata sangat mewah, dengan lampu penenang ruang dalam, dua skrin besar (12.3 inci) bagi penunjuk kelajuan dan maklumat-maklumat dari sistem infotainment jenis COMAND.
Pada model E 250 terdapat kerusi jahitan kulit mewah jenis Nappa (yang lain kerusi jahitan kulit kenis Artico) dan juga sistem audio keliling mewah jenama Burmester.
Barisan E-Class juga dilengkapkan dengan sistem-sistem keselamatan aktif dan pasif seperti Pre-Safe, Active Brake Assist, Parking Pilot, Pre-Safe Sound and 7 beg udara.
Pada hari pelancaran, MBM juga turut mengumumkan sebuah model hibrid baharu, iaitu E 350e AMG Line, yang bakal dijual dengan rasmi pada suku ketiga tahun ini, dengan harga “dibawah RM400,000.”