Perodua Kelisa atau nama panggilannya "Wheely" telah menjadi kereta dan saksi pengembaraan dua beranak Nursulhi Rahim, 45 dan anaknya Muhammad Aidil, 17 yang mengelilingi dunia bermula semenjak November 2019.
Perjalanan kembara mereka bermula dari Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turki, Bulgaria, Romania, Hungary, Slovenia, Autria, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Switzerland, Itali, Greece dan kembali ke Turki.
Akibat wabak pandemik Covid-19 yang mula melanda dunia ketika itu, mereka terpaksa pulang ke Malaysia, seminggu sebelum PKP bermula iaitu pada 18 Mac 2020. Kereta Kelisa atau nama panggilannya "Wheely" terpaksa ditinggalkan di Turki.
Pengembaraan itu kemudian di sambung pada 15 September 2022, dimana mereka mengambil semula Kelisa yang ditinggalkan selama 3 tahun itu di rumah seorang rakan di Bayramic, Canakkale, Turki.
Pengembaraan mereka diuji apabila Kelisa yang ditinggalkan lama itu mengalami masalah kotak gear.
Tanpa pengetahuan tentang membaiki kereta, mereka berusaha membaik pulih kerosakan itu dengan bantuan rakan mekanik di Malaysia melalui panggilan video dan bantuan orang tempatan.
Setelah memulakan semula perjalanan dari Turki, Iran dan Pakistan, dua beranak itu sekali lagi terpaksa meninggalkan kereta Kelisa itu akibat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Dua beranak itu mengambil penerbangan pulang dan tiba di Malaysia sehari sebelum Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
Nursulhi berkata, "Pertama, tiba-tiba rasa gila untuk mengembara itu datang dan menyebabkan saya tidak senang duduk selagi saya tidak melakukannya", Nursulhi menyatakan memang hasratnya untuk membawa anaknya, Aidil untuk melihat dunia.
Nursulhi turut berkata, "dari aspek pencapaian akademiknya dia sedikit kurang, jadi saya mahu bawa dia tengok dunia sambil membuka pandangan dan harapan baru dalam dirinya bahawa kehidupan kita sebenarnya adalah lebih luas dari sekadar pencapaian akademik semata-mata".
Nursulhi berhasrat untuk membawa Kelisa itu pulang semua ke Malaysia suatu hari nanti. Ianya memang suatu perkara yang mengagumkan untuk seseorang bersama anaknya menjelajah keliling dunia tanpa penaja dan publisiti.
Usaha dua beranak ini pastinya dapat menjadi inspirasi dan panduan untuk mereka di luar sana yang ingin mengembara melihat dunia.
Sumber: BackPackerz
Penulis: Ahmad Danial Yasin