Ducati XDiavel V4 2025, 168 hp, 126Nm, ringan daripada XDiavel 1260

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ducati XDiavel V4 2025
Ducati XDiavel V4 2025
Diavel satu keputusan yang bijak dari Ducati.

Motosikal cruiser bukan makanan ruji untuk Ducati namun pengeluar dari Borgo Panigale ini berjaya menciptanya dengan ramuan tersendiri.

Analogi mudah, bayangkan Harley Davidson berjaya mengeluarkan motosikal super atau sport. 

Berjaya satu perkara dan diterima oleh pengguna pula satu perkara lain dan Ducati berjaya melakukan kedua-duanya.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025
Ducati XDiavel V4 2025
Ducati XDiavel V4 2025

  

Buat peminat serata dunia, kini ada model sport cruiser baharu iaitu XDiavel V4 2025. Jika Diavel nampak seperti gabungan cruiser, naked dan Ducati, XDiavel V4 pula berlainan.

Lampu, panel badan, pelana semuanya berbeza daripada Diavel. Sebagai model baharu, XDiavel V4 juga berbeza ketara daripada XDiavel sebelum ini.

Dari sisi XDiavel V4 nampak seperti cruiser sejati dengan gaya duduk santai tetapi dengan segala urat dan otot Ducati. 

Sisi motosikal turut menyerlah dengan empat muncung meriam enjin V4 Granturismo.

 

Ducati XDiavel S 2021
Ducati XDiavel S 2021

 

Kepada yang tidak gemarkan rim XDiavel dan Diavel, XDiavel 2025 dipasang rim lima jejari baharu berbentuk bintang dengan permukaan bermesin inspirasi daripada kereta muscle.

Ukuran pelana 770 milimeter (mm) dari permukaan jalan dan hendal ke belakang dan rendah berbanding XDiavel 1260 memudahkan tunggangan terutama sekali semasa mengemudi.

Pakej ini memberi kawalan penuh kepada penunggang pada setiap keadaan. Keselesaan juga lebih baik hasil daripada bentuk baharu dan pelana lebih tebal.

Pelana pembonceng lebih besar (+30% lebar, +50% panjang, +25 mm tebal) dan didatangkan bersama pemegang belakang.

 

Ducati Diavel V4 2023
Ducati Diavel V4 2023

 

Kedudukan tunggangan boleh diubah dengan kit pemijak pada kedudukan lebih ke belakang.

XDiavel digerakkan enjin 1,158 cc V4 Granturismo yang menghasilkan 168 kuasa kuda (hp) pada 10,750 rpm dan 126Nm pada 7,500 rpm.

Angka ini sama seperti Diavel V4 dan Ducati membekalkan tangki 20 liter. Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) tidak sampai tiga saat. 

Enjin mempunyai sistem nyahaktif silinder yang mematikan dua silinder belakang semasa berhenti atau tunggangan pada rpm rendah.

 

Ducati XDiavel V4 2025
Ducati XDiavel V4 2025

 

Dengan bada sasa dan segala urat dawai besi berat XDiavel mempunyai berat 229 kilogram (kg) dan enam kg lebih ringan berbanding XDiavel 1260 S.

Perkakasan brek terdiri daripada angkup monoblok Brembo Stylema® dan cakera berkembar 330 mm di depan.

Sebagai sebuah Ducati, XDiavel sarat dengan sistem elektronik. Mod tunggangan ada empat iaitu Sport, Touring, Urban dan Wet.

Lagi sistem seperti ABS Selekoh, Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) dan Kawalan Wheelie Ducati (DWC).

 

Ducati XDiavel V4 2025

 

Turut dilengkapi Pelancaran Kuasa Ducati (DPL), Penukaran Gear Pantas Ducati atas/bawah (DQS) dan Kawalan Jelajah.

Penunggang diberi skrin TFT 6.9 inci dengan nisbah 8:3 yang sebelum ini diperkenal pada Panigale V4.

Skrin boleh dihubungkan dengan Bluetooth untuk panggilan telefon, mesej, muzik, serta navigasi berturutan (Turn-by-turn) melalui Ducati Link App.

Satu lagi yang istimewa adalah warna Burning Red baharu dan tidak sama seperti Ducati Red atau Racing Red. Ducati turut menawarkan warna Black Lava.

 

Ducati XDiavel V4 2025

 

Motosikal cruiser begini wajib menggunakan aksesori dan Ducati menawarkan pelbagai pilihan seperti kotak 48 liter, pelana Comfort, peredam ekzos dan pelbagai lagi.

Diperkenalkan sekarang, XDiavel V4 hanya akan memasuki pasaran pada Mei 2025.

Harganya? 25,995 pound (RM145,445) di United Kingdom.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Ducati XDiavel V4 2025

Spesifikasi Ducati XDiavel V4 2025:

  • Enjin: 1,158cc V4 Granturismo, penyejukan cecair, konfigurasi V4 90°
  • Kuasa: 168 hp (124 kW) @ 10,750 rpm
  • Tork: 126 Nm @ 7,500 rpm
  • Pemeriksaan Kelegaan Injap: Setiap 60,000 km
  • Rangka: Monocoque aluminium
  • Tanki Bahan Api: 20 liter, keluli
  • Pencahayaan: LED penuh dengan DRL dwi-C, "Welcome Effect" ketika dihidupkan
  • Suspensi Depan: Sepit udang USD 50 mm Marzocchi, boleh dilaras sepenuhnya
  • Suspensi Belakang: Penyerap hentak tunggal Marzocchi dengan takungan berasingan, boleh dilaras sepenuhnya
  • Lengan Ayun: Aluminium satu sisi
  • Sistem Brek: Cakera berkembar 330 mm dengan angkup monoblok Brembo Stylema® di hadapan
  • Tayar Belakang: 240/45 Diablo Rosso III
  • Rim: Aloi tuang aluminium 
  • Papan Pemuka: 6.9” TFT dengan nisbah aspek 8:3, Bluetooth, Ducati Link App
  • Navigasi: Sistem Berturutan (Turn-by-Turn) (pilihan)
  • Mod Kuasa: 3 Mod
  • Mod Tunggang: 4 Mod (Sport, Touring, Urban, Wet)
  • Ergonomi: Posisi kaki penunggang boleh dilaras, pemegang penumpang disediakan
  • Bantuan Elektronik: ABS Selekuh, DTC, DWC, DPL, DQS, Kawalan Jelajah (6D IMU)
  • Warna: Burning Red, Black Lava
Ducati XDiavel V4 2025