Scrambler Full Throttle
Model ini paling sporti dan meriah di dalam siri Scrambler dan diilhamkan dari perlumbaan Flat Track Amerika Syarikat.
Nombor 62 yang terpampang merujuk kepada 1962 iaitu tahun Ducati Scrambler diperkenalkan.
Panel sisi yang besar, balutan pelana dan pelindung bawah enjin membezakannya dengan Icon Dark. Grafik warna gangsa turut diguna pada rim.
Hendal rendah, madgad depan pendek dan ekor tanpa pelindung lumpur belakang menyerlahkan lagi jiwa sebuah motosikal Tracker.
Peredam bunyi Termignoni yang sah digunakan atas jalan dijadikan kelengkapan asas selain lampu isyarat LED Ducati Performance dan Penukar Cepat Ducati Quick atas/bawah.
Harga di United Kingdom ialah 11,195 pound (RM62,788).
Scrambler Icon Dark
Model ini tampil bersahaja tanpa drama dengan warna gelap. Bahagian sisi nampak lebih 'raw' tanpa panel dan pelindung bawah enjin.
Madgad depan lebih panjang dan seperti Full Throttle dilengkapi sistem Ride-by-wire, ABS pembelokan dari Bosch dan skrin TFT 4.3 inci.
Penunggang kedua-dua model boleh menikmati Mod Tunggangan, Mod Kuasa dan Kawalan Cengkaman Ducati.
Kedua-dua model menggunakan fork depan terbalik Kayaba 41 milimeter (mm) dan penyerap hentak belakang boleh laras dari jenama sama.
Rim aloi depan saiz 3 x 18 inci dan rim belakang 5.5 x 17 inci masing-masing dipadan bersama tayar Pirelli MT 60 RS 110/80 dan 60 RS 180/55.
Cakera depan 330 mm diganding bersama angkup empat omboh Brembo dengan cakera belakang 245 mm dan angkup omboh tunggal.
Harga Icon Dark lebih murah iaitu 9,495 pound (RM53,274).
Penulis: Muhammad Md Tajudin