Ducati Scrambler 2023, banyak komponen baharu, 4 kg lagi ringan!

oleh Muhammad Md Tajudin|
DUCATI SCRAMBLER ICON 2023
DUCATI SCRAMBLER ICON 2023
Strategi Ducati menawarkan sejumlah model dalam siri Scrambler nyata berbaloi apabila jualannya sudah pun melebihi 100,000 unit di serata dunia.

Terbaru Ducati memperkenalkan Scrambler 2023 yang merupakan model generasi kedua dengan beberapa perubahan termasuk lebih ringan berbanding sebelum ini.

Secara asasnya, keluarga Scrambler terdiri daripada tiga sesaran enjin iaitu 399 cc, 803 cc dan 1079 cc. Daripada tiga sesaran tersebut dibahagikan pula kepada beberapa model utama.

Scrambler 2023 terdiri daripada model Icon, Full Throttle dan Nightshift yang tampil dengan gayaan dan ciri tersendiri dan digerakkan enjin 803cc Desmodue L twin. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Ducati Scrambler 2023

 

Enjin itu menghasilkan 73 kuasa kuda (hp) pada 8,250 rpm dan 65Nm pada 7,000 rpm dan 2.5 kilogram (kg) lebih ringan berbanding enjin terdahulu.

Di antara perubahan yang dibuat ialah cekam baharu lapan cakera dengan tarikan yang lebih lembut.

Ianya juga lebih kompak dan saiz penutup cekam menjadi lebih kecil dan lebih ruang untuk kaki penunggang.

Turut dilengkapi gelendung tukaran (shift drum) dengan galas (bearing-mounted) untuk tukaran gear lebih lancar dan tepat.

Satu lagi ciri utama pada Scrambler 2023 ialah teknologi Ride by Wire yang sudah biasa digunakan pada model terbaru Ducati.

 

DUCATI SCRAMBLER ICON 2023
Ducati Scrambler Icon 2023

 

Teknologi itu menjadikan enjin sedia untuk beraksi pada setiap darjah pulasan pendikit dan senang untuk diuruskan pada setiap putaran enjin (rpm).

Teknologi Ride by Wire juga bermakna lebih banyak sistem elektronik boleh dimasukkan dan Scrambler 2023 dilengkapi dua mod tunggangan iaitu Road dan Wet.

Juga standard ialah sistem Cornering ABS dan Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) dan untuk tunggangan lebih selamat. 

Teknologi Ride by Wire mempunyai satu lagi kelebihan dan pelanggan boleh mendapatkan fungsi Tukaran Gear Cepat (atas dan bawah) sebagai aksesori pembelian.

Pembeli Scrambler Full Throttle tidak perlu membuat pesanan tambahan kerana sudah sedia dipasang.

 

Ducati Scrambler Full Throttle 2023
Ducati Scrambler Full Throttle 2023

 

Selain enjin, kerangka trellis Scrambler 2023 diperkemaskan dan berat dikurangkan dan secara keseluruhannya motosikal ini empat kg lebih ringan berbanding model terdahulu.

Satu lagi perubahan yang dibuat ialah kerangka belakang dipisah daripada kerangka utama untuk rasa yang lebih sporti.

Darjah hendal (steering angle) dinaikkan sedikit supaya lebih mudah untuk dikendali ketika tunggangan dan di dalam kesesakan bandar. 

Lengan ayun juga baharu dengan penyerap hentak dianjak ke bahagian tengah motosikal. Tidak dilupakan rim rekaan baharu dengan saiz 18 inci di depan dan 17 inci di belakang.

 

Ducati Scrambler Nightshift 2023
Ducati Scrambler Nightshift 2023

 

Dari segi reka bentuk, Scrambler 2023 nampak sama tetapi berbeza dengan model terdahulu.

Paling mudah dikenali ialah lampu nyalaan siang (DRL) dengan empat bahagian atau dalam bentuk X dan lampu utama LED penuh.

Tangki besi direka baharu dan mempunyai penutup boleh tukar dan pelindung aluminium di bawah tangki turut diganti baharu. 

Penutup alternator dan cekam mempunyai logo X dan rekaan ekzos berbeza dengan tambahan garisan utama.

 

Ducati Scrambler 2023

 

Maklumat motosikal dipaparkan pada meter TFT baharu berwarna saiz 4.3 inci dan pembeli ditawarkan aksesori Sistem Multimedia Ducati untuk sambungan telefon pintar.

Ketiga-tiga Ducati Scrambler Icon, Full Throttle dan Nightshift akan berada di bilik pameran Eropah bermula Mac 2023.

Daripada tiga model tersebut Scrambler Nightshift nampak jelas berbeza dengan gaya Café Racer manakala Full Throttle diinspirasi dari perlumbaan flat track Amerika Syarikat.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Acara WDW itu telah memasuki edisi ke-12 pada tahun ini dan akan mengambil tempat di Litar…
Berita Domestik
Seramai 720 orang pemilik Ducati dari enam negara Asia Pasifik termasuk China, Vietnam, Brunei,…
Berita Global
  Panigale ini model penghormatan terbaharu selepas Panigale V4 25° Anniversario 916 dan dibawa…