Ducati Panigale V4 SP2, hadir dengan pakej baharu untuk 2022!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ducati Panigale V4 SP2 2022
Ducati Panigale V4 SP2 2022
Jarang untuk Ducati menawarkan produk andalannya (flagship) secara bersahaja. Biasanya ada model istimewa atau terhad yang disambut baik oleh peminat.

Terbaru Ducati memperkenalkan Panigale V4 SP2 2022 dengan pakej menarik dan susulan kepada V4 SP 2021.

SP bermakna Sport Production dan model ini sesuai untuk penunggang bukan profesional gunakan pada hari litar.

Empat bahagian yang difokuskan untuk V4 SP2 ialah aerodinamik, ergonomik, enjin, casis dan elektronik.

Ducati turut melengkapi SP2 dengan sistem brek lebih berkuasa, roda karbon ringan, pemijak kaki perlumbaan, komponen karbon, pemacu akhir dan klac kering dari motosikal WorldSBK.

Fairing hitam kusam 

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Imej paling jelas dibawa V4 SP2 ialah grafik Ujian Musim Sejuk (Winter Test) dengan fairing hitam kusam (matt) yang dipadan bersama roda dan sayap dala, warna karbon kusam.

Warna kusam tersebut diserikan dengan riasan merah terang dan tangki aluminium corak berus.

Sayap tepi dengan dua bilah menayangkan bendera Itali yang turut digunakan pada Panigale V4 R SBK.

Secara asasnya V4 SP2 nampak sama seperti SP 2021 tetapi masih berbeza dari segi peletakan warna merah.

Bahagian bawah fairing tampil dengan logo Ducati Corse pada saluran buangan udara panas baharu.

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Satu lagi komponen baharu ialah tangki dan pelana baharu yang dibuat bagi mempertingkatkan kawalan dan sesuai untuk tunggangan yang lama.

Nombor siri motosikal pula seperti biasa diletakkan pada hendal.

Untuk tunggangan di litar, Ducati membekalkan kit khas seperti penutup aluminium bagi menggantikan cermin sisi, kit untuk buka pemegang nombor plet dan penutup klac karbon.

Enjin lebih berkuasa

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Nadi 1,103 cc Desmosedici Stradale dipertingkatkan dengan beberapa perubahan untuk lebih respon pendikit dan kuasa.

Output motosikal ini ialah 215.5 hp pada 13,000 rpm atau peningkatan 1.5 hp berbanding V4 SP 2021.

Mod Kuasa ada empat iaitu Full, High, Medium, Low dengan Full dan Low adalah ciri baharu manakala High dan Medium menggunakan pemetaan baharu.

Untuk tunggangan di litar, ada aksesori yang boleh dibeli iaitu ekzos titanium perlumbaan Ducati Performance yang dibangunkan bersama Akrapovič.

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Ekzos ini direka semula untuk lebih kuasa dan had bunyi yang membolehkan pemilik menikmatinya walaupun di litar dengan had bunyi yang paling ketat.

Ekzos tersebut juga mengurangkan berat Panigale V4 SP2 sebanyak 5 kg kepada 168 kg sahaja (berat kering).

Bukan setakat lagi ringan, kuasa pun bertambah 12.5 hp kepada 228 hp dengan tork maksimum 131 Nm.

Lagi komponen yang digunakan ialah klac kering STM-EVO SBK, pemacu akhir (final drive) yang diringankan dan rantai 520.

Casis dan suspensi

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Rangka depan Panigale V4 SP2 diperbuat daripada aluminium dan menggunakan set suspensi kawalan elektronik Öhlins NPX25/30 dengan jarak 125 mm.

Set itu menggunakan sistem redaman katrij bertekanan seperti fork jenis perlumbaan.

Fork bersama penyerap hentak Öhlins TTX36 dan peredam stereng elektronik Öhlins adalah generasi kedua Smart EC 2.0 yang menggunakan aturan OBTI (Objective Based Tuning Interface).

Ianya berfungsi mengikut objektif dan bukan 'klik' yang menawarkan pengurusan secara intuitif berbanding kaedah lama.

Roda lagi ringan

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Panigale V4 SP2 menggunakan roda karbon dengan lima rongga dan 1.4 kg lebih ringan berbanding roda aluminium forged pada Panigale V4 S.

Roda karbon itu juga mempunyai daya inersia yang jauh lebih rendah dengan pengurangan 26 peratus di depan dan 46 peratus di belakang.

Ciri tersebut membantu dari segi penukaran laluan, lincah dan lebih mudah untuk merapat ke selekoh.

Tuil brek kurangkan rintangan angin

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Panigale V4 SP2 dilengkapi angkup brek Brembo Stylema R dengan pam radial Brembo MCS (Multiple Click System) untuk pelarasan rasa pembrekan.

Tuil brek depan mempunyai peranti remote adjuster untuk penunggang melaras kedudukan melalui tombol pada pemegang kiri seperti motosikal lumba.

Seperkara lagi, tuil brek dan klac 'dimesin' pada hujungnya untuk mengurangkan rintangan angin.

Kaki penunggang diletakkan pada perehat kaki dari Rizoma dengan pelindung buku lali gentian karbon.

Perehat kaki itu boleh dilaras sepenuhnya dan mempunyai cengkaman yang baik untuk but.

Pakej elektronik dan Mod Tunggangan

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Empat mod tunggangan pada Panigale V4 SP2 ialah Race A, Race B, Sport, Street dengan pelbagai pakej elektronik seperti DTC, DWC, DSC, EBC.

Maklumat elektronik boleh dibaca pada meter yang turut mempunyai mod paparan Track Evo seperti yang digunakan pada MotoGP.

Selain itu, modul GPS dipasang secara standard untuk SP2 yang boleh mengaktifkan fungsi Masa Pusingan secara automatik dan memberikan masa pisahan di litar.

Penganalisa Data Ducati juga komponen standard dan boleh digunakan untuk menganalisa prestasi secara mendalam.

Kepada yang berminat, sabar menanti kerana Ducati Panigale V4 SP2 dengan pelana tunggal dan grafik Ujian Musim Sejuk ditawarkan di Eropah dahulu bermula Mac 2022.

 

Ducati Panigale V4 SP2 2022

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin