Hadir sebagai generasi ketujuh, Panigale V4 2025 hadir serba baharu bersama peningkatan pada keseluruhan aspek yang dibina dengan orientasi jentera lumba Desmo GP.
Penggayaan Panigale V4 terbaharu mendapat inspirasi daripada model ikonik Ducati 916, di mana bahagian depan dilengkapi unit lampu LED yang lebih halus.

Bahagian saluran masuk udara juga lebih menegak untuk membolehkan lebih banyak ruang kosong antara roda hadapan dan fairing yang meingkatkan tahap kendalian.
Reka bentuk keseluruhan panel badan juga telah diperhalusi dari segi kecekapan aerodinamik, meningkat sebanyak 4 peratus sambil memberikan lebih perlindungan dan keselesaan kepada penunggang pada kelajuan tinggi.
Keseluruhan elemen aerodinamik, termasuk dua sayap atau "winglet" di hadapan kini disepadukan pada panel berbanding sebagai tambahan pada generasi terdahulu.

Selain penggayaan serba baharu, satu ciri baharu yang menjadi tumpuan, tiada lagi single sided arm, di mana Panigale V4 2025 kini menggunakan swingarm konvensional baharu.
Bagaimanapun menurut Ducati swingarm baharu itu dapat meningkatkan daya cengkaman dan kebolehan di selekoh.
Dari segi kuasa, Panigale V4 2025 masih dikuasakan nadi Desmosedici Stradale 1,103cc 90-darjah V4 dengan injap Desmodromic yang dipertingkat dan mematuhi piawaian 5+.

Ianya menghasilkan kuasa sehingga 216 HP pada 13,500 rpm (229 HP dengan ekzos Akrapovič) dan 120.9 Nm pada 11,250 rpm.
Pada bahagian suspensi, Panigale V4 2025 dilengkapi fork USD Öhlins NPX-30 43mm di depan dan monoshock Öhlins TTX-36 di belakang.
Pada bahagian brek pula, Panigale V4 2025 menjadi model pertama yang dilengkapi angkup brek 4 piston Brembo Hypure bersama cakera 330mm di depan, dan angkup 2 piston bersama cakera 245mm di belakang.

Ia turut dilengkapi sistem ABS Bosch Race eCBS yang membolehkan pelbagai mod tunggangan termasuk mod litar.
Satu lagi komponen yang diilhamkan dari jentera lumba Desmo GP ialah paparan skrin TFT bersaiz 6.9 inci yang memaparkan segala maklumat penting.
Antara ciri elektronik lain pada Ducati Panigale V4 2025 termasuklah:
- Ducati Traction Control
- Ducati Slide Control
- Ducati Wheelie Control
- Ducati Power Launch
- Engine Brake Control
- Ducati Quick Shift 2.0