Ducati Panigale V4 2022 - kini dengan kuasa 215 hp

oleh Mohamad Hanif|
Jentera terulung Ducati Panigale V4 telah diberikan peningkatan dari segi spesifikasi untuk tahun 2022 bagi menjadikan ia sebagai sebuah senjata yang ampuh digunakan dalam litar lumba.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dimulakan dengan nadi V4 bersesaran 1,103 cc Desmosedici Stradale, enjin itu kini menampilkan saliran bahan api baharu dan outlet ekzos yang lebih besar, sekaligus meningkatkan kuasa kuda kepada 215.5 hp @ 13,000 rpm dan daya kilas 123.6 Nm @ 9,500 rpm.
 

Ducati


Untuk memastikan kuasa disalurkan dengan baik, kotak gear SBK  baharu digunakan, di mana gear satu, dua dan gear keenam telah dipanjangkan nisbahnya untuk lebih fleksibiliti ketika mengambil selekoh berkelajuan rendah, dan dalam masa yang sama meningkatkan tahap kelajuan tertinggi.

Untuk mengawal kuasa yang liar itu, Ducati turut menyemak semula sistem Power Mode dengan empat tetapan iaitu Full, High, Medium dan Low yang menurunkan kuasa kepada 150 hp, khusus untuk tunggangan yang lebih santai.
 

Panigale


Malah, Ducati turut mementingkan aspek keselesaan di mana sistem fork hadapan semi aktif Ohlins NPX 25/30 telah diberikan jarak pergerakan tambahan 5 mm, diikuti dengan gegelung spring yang lebih lembut untuk kegunaan jalan yang tidak rata - macam Malaysia.

Ergonomik tunggangan dibantu oleh rekaan pelana dan tangki yang direka semula bagi memaksimumkan prestasi penunggang dan mengurangkan usaha fizikal yang diperlukan untuk mengendalikan jentera ini di litar.
 

Panigale


Skrin paparan TFT berwarna itu kini didatangkan dengan antaramuka Track Evo yang diinspirasikan daripada MotoGP, lengkap dengan ciri seperti Ducati Lap Timer GPS, Ducati Data Analyser dan Ducati Multimedia System.

Aspek elektronik dibantu dengan kehadiran ciri seperti ABS Cornering EVO, Ducati Traction Control EVO 3, Ducati Slide Control (DSC), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift (DQS) EVO 2, Engine Brake Control (EBC) EVO, Ducati Wheelie Control dan Ducati Electronic Suspension (DES) EVO.

Tidak ketinggalan, peralatan opsyen yang diperbuat daripada gentian karbon, titanium termasuklah ekzos perlumbaan Akrapovic.