Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition, 555 buah sahaja!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition
Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition
Sebagai peminat Ducati, anda perlu berada dalam keadaan bersedia (dengan wang) kerana ada sahaja model menarik yang ditawarkan.

Ducati tidak kering dengan idea dan kerap menghargai model atau individu ikonik.

Terbaru Ducati memperkenal Panigale V2 Superquadro Final Edition dan hanya dihadkan kepada 555 buah sahaja.

Siri enjin itu berada di dalam babak akhir selepas berjasa kepada Ducati.
Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition

 

Enjin Superquadro silinder L berkembar 90 darjah dikeluarkan pada 2011 untuk Panigale 1199. Nama itu diperolehi dari nisbah yang tinggi di antara gerek dan lejang.

Sejak diperkenal, Superquadro menjalani evolusi dan turut melahirkan enjin yang lebih kecil seperti 898 dan 955.

Versi 955 menguasakan motosikal Nicolò Bulega yang memenangi kejuaraan dunia Supersport pertama untuk Ducati pada 2023.

Ducati turut memegang kejuaraan MotoAmerica SuperSport pada 2023 dan tahun sebelumnya.

 

Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition

 

Enjin Superquadro 955 cc pada Panigale V2 Superquadro Final Edition menghasilkan 155 kuasa kuda (hp) pada 10,750 rpm dan 104Nm pada 9,000 rpm.

Grafik motosikal atau Superquadro Tribute serius cantik! Rekaan itu dihasilkan Drudi Performance bersama Centro Stile Ducati.

Corak melengkung pada reraut sebenarnya menyamai bentuk motosikal dan lukisan teknikal berada pada kedudukan yang sama seperti enjin.

Ciri itu sahaja sudah cukup untuk memilikinya dan disimpan di ruang tamu untuk ditenung.

 

 Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition

 

Keselamatan dan kawalan motosikal suatu yang boleh diharapkan dari Ducati dan dibentuk oleh sistem elektronik.

Motosikal ini dilengkapi ABS Cornering EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2 dan Ducati Wheelie Control (DWC) EVO.

Turut dilengkapi Ducati Quick Shift up/down (DQS) EVO 2 dan Engine Brake Control (EBC) EVO.

 

Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition

 

Animasi pada skrin dibuat khas untuk model ini selain tersedia dengan modul GPS untuk pencerapan data.

Casis motosikal dipasangkan ampaian Öhlins dan peredam hendal. Seperti biasa edisi terhad Ducati menggunakan pengapit bertiga dan memaparkan nombor model.

Madgad depan dan belakang, penutup rantai, pelindung penutup cekam, penyenyap ekzos, lengan ayun dan penyerap hentak dibuat dari gentian karbon.

 

Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition

 

Untuk tunggangan di litar Ducati membekalkan kit penanggalan plet pendaftaran dan cermin sisi dan penutup tangki minyak aluminium.

Panigale V2 Superquadro Final Edition didatangkan bersama sijil ketulenan dan selimut khas. 

Di United Kingdom, motosikal ini dijual pada harga 23,500 pound (RM142,580).

 

Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition

 

Ciri-ciri standard Panigale V2 Superquadro Final Edition:

  • Enjin 955 cc Superquadro L-berkembar
  • Tangki aluminium 17 liter
  • Sepit udang terbalik (USD) Öhlins Ø 48 mm, boleh laras penuh dengan lapisan TiN
  • Penyerap hentak tunggal belakang Öhlins boleh laras penuh dengan lengan ayun aluminium
  • Peredam hendal
  • Angkup brek Brembo M4.32
  • Bateri litium
  • Tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa II tyres
  • Pelana tunggal

Ciri-ciri khusus Panigale V2 Superquadro Final Edition:

  • Grafik khusus Superquadro Tribute
  • Pengapit bertiga aluminium dan nombor siri
  • Grafik khas skrin semasa pulasan kunci
  • Pelindung gentian karbon - penyenyap ekzos, madgad depan dan belakang, lengan ayun, rantai, penyerap hentak
  • Kit penanggalan pemegang nombor pendaftaran dan cermin sisi
  • Penutup tangki minyak aluminium
  • Sijil ketulenan
  • Selimut khas

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

 Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition