Ducati Panigale V2, si merah kini dengan warna putih White Rosso

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ducati Panigale V2 White Rosso
Ducati Panigale V2 White Rosso
Warna merah ibarat warna yang sejati buat Ducati. Walaupun pengeluar Itali itu turut menawarkan warna lain namun merah tetap sebati dengannya.

Kebiasaan itu bagaimanapun didefinisikan semula melalui warna ini, White Rosso yang digunakan pada Panigale V2. 

Warna putih walaupun sifatnya tenang tetapi kelihatan begitu menyerlah pada motosikal ini di samping Star White Silk sebagai warna utama. 

Hanya dari gambar sudah jelas kilatan dan kilauan pada motosikal ini. White Rosso adalah tambahan kepada warna tunggal Ducati Red semasa diperkenalkan pada 2019.
Ducati Panigale V2 White Rosso

 

Selain kilatan dan kilauan, warna putih yang digunakan berjaya menaikkan garis badan dan bentuk Panigale V2.

Warna Ducati Red tidak ditinggalkan dan memperingati kuasa yang ada pada motosikal ini.

Warna merah digunakan pada roda, liang kemasukan udara depan dan deflector bahagian fairing. 

Logo Panigale V2 pula ringkas pada bahagian sisi yang diinspirasi daripada grafik motosikal Ducati Corse.

Panigale V2 yang diperkenalkan pada November 2019 adalah sebuah motosikal sport super mid permulaan (entry model) kepada keluarga Panigale.

 

Ducati Panigale V2 White Rosso

 

Motosikal ini dibekalkan enjin 955 cc Superquadro dengan kuasa maksimum 155 hp pada 10,750 rpm dan tork maksimum 104 Nm pada 9,000 rpm.

Karakter enjin berfungsi dengan lebih daripada 70% tork maksimum sentiasa tersedia melebihi 5,500 rpm. Ini membolehkan motosikal dipacu keluar dari selekoh dengan pantas.

Identiti Panigale turut diteruskan melalui penggunaan lengan ayun tunggal dan sistem elektronik yang tidak kurang hebatnya.

Panigale V2 menggunakan enam paksi (6-axis inertial platform) dan turut dibekalkan Bosch ABS.

 

Ducati Panigale V2 White Rosso

 

Seleksi tunggangan ada tiga iaitu mod Race, Sport dan Street yang boleh diubah melalui papan pemuka 4.3 inci TFT berwarna.

Casis Panigale V2 dipasangkan suspensi boleh laras penuh dengan Showa Big Piston Fork (BPF) berdiameter 43 mm dan penyerap hentak Sachs. 

Menjejak jalan raya ialah tayar dari model Pirelli Diablo Rosso Corsa II. Steering damper juga dari Sachs manakala brek dari Brembo dengan angkup monoblok M4.32.

Cakera berkembar pada roda depan didatangkan dengan saiz 320mm, cakera belakang pula jenis tunggal berukuran 245 mm.

Si putih White Rosso Ducati Panigale V2 ini dijadual untuk dikeluarkan pada Julai 2020.

Penulis: Muhammad Md Tajudin