Ducati Panigale Superleggera V4 - superbike 224 hp, 500 unit sahaja!

oleh Mohamad Hanif|
Ducati Panigale Superleggera V4, ini merupakan penawaran terbaharu dari Ducati yang akan menyertai model-model V4 sedia ada seperti Panigale V4, Panigale V4S, Panigale V4R serta Panigale V4 25th Anniversary 916.

Menurut Ducati, Panigale Superleggera V4 merupakan motosikal produksi pertama di dunia yang hadir dengan struktur galas beban daripada gentian karbon sepenuhnya, termasuklah rangka, sub-rangka, lengan ayun dan juga roda.

Dengan penggunaan bahan ringan ini, berat Panigale Superleggera V4 berkurangan sebanyak 6.80 kilogram. 

 


Tambahan lagi dengan penggunaan bahan ringan lain seperti magnesium, aluminium dan titanium, berat bersih jentera ini hanyalah sekitar 158.76 kilogram sahaja.

Dari segi luaran, Panigale Superleggera V4 membawakan teknologi MotoGP, paling ketara ialah pada komponen winglet (juga gentian karbon) yang mampu menjana daya turun (downforce) menghampiri 50 kilogram pada kelajuan 270 km/j!
 


Superbike terbaharu dari Ducati ini dikuasakan oleh nadi V-four Desmosedici Stradale bersesaran 998 cc dengan kuasa setinggi 224 kuasa kuda dan daya kilas 120 Nm yang memacu roda belakang, dengan nisbah kuasa kepada berat cuma 1.4 hp per kg.

Aspek pengendalian menggunakan fork bertekanan dan penyerap hentak tunggal titanium daripada Ohlins, manakala kuasa pemberhentian pula diserahkan kepada set Brembo dengan angkup Stylema R. 

Tak cukup kuasa? 

 


Anda boleh dapatkan kit perlumbaan yang turut menawarkan set ekzos Akrapovic khas yang mampu melonjakkan kuasa kepada 234 kuasa kuda, serta sistem paparan RaceGP yang diinspirasikan daripada Desmosedici GP20. 

Hanya 500 unit sahaja akan dihasilkan oleh Ducati dengan kadar produksi lima unit sehari, di mana pembeli akan diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menunggang jentera WSBK Panigale V4 R dan Desmosedici GP20 di atas litar. 

 


Harga? 

Sendiri mau ingat. Dengan bermacam teknologi dan bahan super ringan yang digunakan pada Superleggera V4 ini, harganya juga tidak akan menjadi semurah kereta hatchback belasahan seharian anda.