Walaupun jualan keseluruhan Ducati menurun 5% berbanding tempoh yang sama tahun Ducati masih berjaya mengedarkan jumlah keseluruhan sebanyak 53,004 unit motosikal pada tahun 2018.
Daripada jumlah tersebut, Panigale masih lagi mengungguli gelaran Raja Superbike tahun 2018 apabila ia berjaya dijual sebanyak 18% atau 9,700 unit berjaya diserahkan kepada para pelanggan, dan 6,100 unit daripadanya adalah model V4.
Peningkatan sebanyak 70% berbanding tahun 2017 itu berjaya meletakkan Ducati sebagai penguasa pasaran superbike global sebanyak 26%, mengalahkan pesaing-pesaingnya yang lain.
Segmen kembara juga berjaya mencatatkan angka yang cukup membanggakan, apabila sebanyak 11,829 unit Multistrada berjaya diedarkan ke seluruh dunia.
Sementara itu, pemegang pasaran terbesar, Amerika Syarikat tidak begitu bernasib baik kali ini apabila jumlah jualan Ducati didapati menurun, menjadikan Itali kini sebagai pemegang pasaran terbesar di dunia.
Secara keseluruhannya, Ducati nampak berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh dan optimis untuk menghadapi cabaran baharu pada tahun ini.