Ducati Multistrada V4 2021 rasmi dilancarkan

oleh Mohamad Hanif|
Generasi baharu Ducati Multistrada 2021 akhirnya rasmi dilancarkan oleh pengeluar motosikal Itali tersebut dengan membawakan pelbagai jenis pembaharuan terhadap motosikal kembara tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi dimensi, ia kini membawakan dimensi yang lebih pendek dan rendah bertujuan untuk mencipta silhouette yang lebih atletik, di mana rekaan bahagian hadapan adalah lebih berisi terima kasih kepada penggunaan tangki yang lebih besar, sekitar 22 liter, diikuti dengan dimensi yang lebih slim pada bahagian belakang.

Jarak antara roda kini sepanjang 1,567 mm dengan ketinggian pelana berukuran 838 mm dengan opsyen tempat duduk yang lebih rendah - 810 mm.

 


Casis aluminium monocoque pada Multistrada V4 baharu ini disokong dengan penggunaan suspensi fork hadapan terbalik Marzocchi 50 mm dengan jarak pergerakan 170 mm serta penyerap hentak tunggal dan jarak pergerakan 180 mm.

Set rim adalah bersaiz 19 inci hadapan dan 17 inci belakang di mana rim aloi standard boleh ditukarkan kepada rim jenis wire-spoke untuk model V4 S, yang mana model yang lebih tinggi itu didatangkan dengan sistem suspensi elektronik Marzocchi Ducati Skyhook.

 


Sistem brek pula menggunakan brek Brembo dengan angkup empat omboh hadapan dengan bantuan rotor brek berkembar 320 mm, manakala brek belakang pula adalah bersaiz 265 mm, serta sistem Bosch-Brembo 10.3ME Cornering ABS.

Ducati Multistrada V4 datang lengkap dengan ciri standard seperti skrin paparan TFT berwarna bersaiz 5 inci, mod tunggangan (Sport, Touring, Urban dan Enduro), Ducati Wheelie Control dan Ducati Traction Control.

 


Sementara Ducati Multistrada V4 S pula ditawarkan dengan skrin yang lebih besar (6.5 inci) serta tambahan ciri Cruise Control, Vehicle Hold Control, sambungan peranti pintar, slot USB dengan ruang simpanan peranti pintar, bantuan mula jarak jauh, lampu membelok, dan quickshifter.

Untuk model V4 S Sport pula hadir dengan sistem ekzos Akrapovic dan mudguard diperbuat daripada gentian karbon.

Bukan itu sahaja, ketiga-tiga trim yang dimaksudkan boleh dilengkapi dengan pelbagai jenis pakej aksesori termasuklah pemegang pendikit dengan pemanas terbina, topang tengah, kotak sisi, penderia tekanan tayar, crash bar dan banyak lagi.

 


Seperti yang didedahkan sebelum ini, Ducati Multistrada merupakan motosikal pertama yang dilengkapi dengan ciri bantuan radar seperti adaptive cruise control serta sistem pemantauan titik buta terdiri daripada penderia radar hadapan dan belakang.

Juga nadi baharu yang digunakan pada Multistrada adalah enjin V4 Granturismo 1,158 cc yang mampu menghamburkan 170 kuasa kuda dan 125 Nm daya kilas, di mana menurut Ducati, hanya memerlukan penukaran pelincir untuk setiap 15,000 km dan servis major setiap 60,000 km.

Sistem transmisi enam nisbah kelajuan turut ditala semula nisbah gearnya dengan gear pertama yang lebih pendek dioptimasikan untuk kegunaan urban dan juga off-road, sementara nisbah gear keenam yang lebih panjang menyumbang kepada keselesaan, prestasi dan penggunaan bahan api yang lebih baik di atas lebuhraya.

 


Pihak jurutera Ducati turut menitikberatkan soal keselesaan di mana Multistrada V4 ini telah diuji secara menyeluruh di dalam terowong angin untuk peningkatan kadar aerodinamik dan mengurangkan kadar bising angin.

Rekaan reraup sisi juga turut ditambah dengan kehadiran ciri sirip jerung bertujuan untuk mengurangkan kadar kepanasan sekaligus meningkatkan penjimatan penggunaan bahan api.

Dan jika anda perasan, terdapat spoiler bi-plane yang diletakkan di bahagian sisi enjin bertujuan untuk memindahkan haba sekaligus membantu penyejukan enjin.

 


Tiada sebarang tanda harga didedahkan buat masa ini untuk ketiga-tiga model Multistrada V4, V4 S dan V4 S Sport.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tirai telah pun disingkap, memperkenalkan, Ducati V4 Granturismo! Enjin baharu V4 Granturismo ini…