Ducati Multistrada V2 2022 - enjin 937 cc Testastretta, 113 hp, 96 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Ducati memulakan acara World Premiere dengan pelancaran rasmi jentera kembara Ducati Multistrada V2 2022 yang mengekalkan enjin 937 cc Testastretta 11°, namun dengan rekaan yang diinspirasikan daripada model Multistrada V4.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Enjin 937 cc sejukan cecair itu mampu menghasilkan kuasa setinggi 113 hp dan 96 Nm, di mana talaan terhadap enjin silinder berkembar ini menjadikan pengedaran kuasa yang linear, mudah dikawal dan lebih lancar pada putaran enjin yang lebih rendah.
 

Multistrada V2


Antara perubahan yang dibuat termasuklah penggunaan rod penghubung baharu, klac hidraulik lapan cakera baharu, serta kotak gear yang dikemaskini menawarkan penukaran gear yang lebih jitu, dibantu dengan ciri quickshifter.

Menurut Ducati, enjin ini juga kini memerlukan penukaran minyak hitam setiap 15,000 km dengan pemeriksaan pelepasan injap pada setiap 30,000 km.

Untuk para pemegang lesen A2 di Eropah, Multistrada V2 juga boleh didapati dalam versi talaan kuasa 47 hp.
 

Multistrada V2


Untuk memastikan ia sesuai ditunggang oleh semua golongan, Ducati telah mengurangkan ketinggian pelana kepada 830 mm selain menjadikan rekaan pelana yang lebih mesra penunggang, dan tempat pemijak kaki yang diambil terus daripada model Multistrada V4.

Terdapat penawaran kit untuk merendahkan suspensi dan ketinggian pelana kepada 790 mm sahaja.

Kesan daripada penggunaan komponen baharu pada enjin dan kotak gear, Ducati Multistrada V2 kini 5 kg lebih ringan berbanding model Multistrada 950.
 

Multistrada V2


Selain daripada itu, terdapat juga komponen yang diambil daripada Multistrada V4 seperti cermin sisi, dan juga rim yang 1.7 kg kini lebih ringan dan menyumbang kepada peningkatan dinamik tunggangan.

Ciri tunggangan turut dibantu dengan kelengkapan elektronik seperti ABS Cornering, bantuan mula mendaki (Vehicle Hold Control), Ducati Traction Control (DTC), serta empat mod tunggangan (Sport, Touring, Urban dan Enduro).

Tipikal dalam penawaran model Ducati, terdapat juga versi yang lebih tinggi iaitu Multistrada V2 S yang menambah kelengkapan seperti sistem suspensi elektronik Skyhook, kawalan jelajah, unit lampu LED penuh dengan fungsi Ducati Cornering Lights, dan juga ciri Ducati Quick Shift Up & Down.
 

Multistrada V2


Segala paparan informasi boleh dibaca menerusi skrin TFT bersaiz lima inci beresolusi tinggi yang lengkap dengan antaramuka intuitif, serta unit kawalan bercahaya yang terletak pada bar hendal.

Harga jualan bermula dari $15,295 (RM64,009).