
Kesemua ciri tersebut tidak akan menjadi tanpa sentuhan pereka Ducati.
Paling menyerlah pada model ini ialah grafik Tricolour 30th Anniversary yang diilhamkan dari Monster terdahulu.
Grafik itu meraikan buatan Itali (Made in Italy) dengan Ducati sebagai duta dan diserlahkan rim warna emas dan dibuat khas untuk model ini.
Lagi ciri istimewa seperti sulaman logo 30 tahun pada pelana, animasi pada skrin apabila kunci dipulas dan nombor siri di depan hendal.

Setiap unit juga didatangkan bersama sijil ketulenan dan sarung motosikal khas.
Tidak hanya kosmetik, Monster 30° Anniversario dilengkapi komponen yang menambah tarikan dan meningkatkan kualiti dinamika.
Berat Monster 30° Anniversario sebenarnya berkurang atau empat kilogram (kg) lebih ringan berbanding Monster standard kepada 184 kg.
Model ini dilengkapi komponen tambahan seperti peredam hendal dan penghadang angin yang tiada pada Monster standard. Barang bertambah namun lebih ringan!

Penurunan berat disumbang sepit udang boleh laras Öhlins dan 600 gram (g) lebih ringan berbanding Monster dan Monster+.
Suspensi itu ditala mengikut tetapan sporti yang membolehkan penunggang menikmatinya di litar.
Peredam hendal juga dari Öhlins jenis boleh laras untuk ketepatan tinggi.
Lagi perkakasan yang membantu mengurangkan berat ialah angkup brek depan Brembo Stylema® dan 500g lebih ringan berbanding set standard pada Monster.

Prestasi membrek lebih baik dan motosikal lebih lincah susulan pengurangan inersia pada bahagian depan.
Kelincahan motosikal juga bertambah hasil penggunaan rim tempa baharu yang mengurangan berat tak berpegas sebanyak 1.86kg.
Momen inersia roda depan berkurang sebanyak 21.8 peratus dan 26.9 peratus pada roda belakang. Penggunaan bateri litium juga mengurangkan berat motosikal.
Seperti biasa, enjin 937 sentimeter padu Testastretta 11° menggerakkan motosikal ini dengan 109 kuasa kuda (hp) pada 9,250 rpm dan tork 93Nm pada 6,500 rpm.

Membantu pemanduan ialah tiga Mod Tunggangan iaitu Sport, Road dan Wet.
Pakej elektronik turut membantu dan terdiri daripada ABS Cornering, Ducati Traction Control dan Ducati Wheelie Control dan kesemuanya mempunyai larasan berbeza.
Selain itu, sistem Launch Control mempunyai tiga tahap bagi membantu mula pandu secepat mungkin.
Bagaimana dengan harga? Di United Kingdom Monster 30° Anniversario ditawarkan daripada 16,095 pound (RM94,259)

Ciri khas Ducati Monster 30° Anniversario:
- Grafik 30° Anniversario Tricolore
- Plat dengan nama model dan nombor siri (XXX/500)
- Animasi skrin meter
- Pelana dengan logo 30 tahun
- Ekzos sarung Termignoni (sah untuk jalan raya)
- Berat badan (kerb weight) 184kg
- Peredam hendal Öhlins
- Sepit udang Öhlins NIX30
- Penyerap hentak belakang Öhlins
- Rim aluminium tempa
- Madgad depan dan belakang gentian karbon
- Mod Wet baharu
- Set brek depan Brembo - Cakera 320mm dengan bebibir dalam aluminium, angkup monoblok Stylema®, silinder induk radial dan pad tersinter (synthered)
- Bateri Li-Ion
- Tayar Pirelli Diablo Rosso IV
- Penghadang angin depan
- Penutup pelana belakang
- Sarung motosikal khas
- Sijil ketulenan
Penulis: Muhammad Md Tajudin
