Sebagai info, Ducati Monster 2021 telah pun dilancarkan di peringkat global pada penghujung tahun lalu bagi menggantikan peranan yang ditinggalkan oleh Monster 797 dan Monster 821.

Dari segi kuasa, Monster 2021 dikuasakan oleh enjin 937 cc L-Twin Testastretta 11 darjah yang mampu menghasilkan 111 kuasa kuda dan 93 Nm.
Aspek pengendalian dibantu dengan penggunaan rangka daripada Panigale V4 yang jauh lebih ringan, diikuti dengan sistem suspensi USD 43 mm, penyerap hentak tunggal dengan tetapan pra-muatan, serta rim aloi aluminium yang dibaluti tayar Pirelli Diablo Rosso III.
Disebabkan penggunaan kerangka yang lebih ringan, serta subrangka, lengan ayun dan rim aluminium, Monster 2021 memiliki berat sekitar 166 kg sahaja.

Antara kelengkapan standard termasuklah lampu utama LED, lampu DRL LED, lampu membelok LED, lampu belakang LED, skrin paparan TFT 4.3 inci, serta ketinggian tempat duduk 820 mm yang boleh direndahkan sehingga 775 mm menerusi opsyen yang ditawarkan.
Sistem brek pula adalah daripada Brembo M4.32 monobloc terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 320 mm di depan, serta angkup dua omboh dan rotor 245 mm di belakang.
Ciri bantuan elektronik pula adalah seperti mod tunggangan (Sport, Urban, Touring), Cornering ABS, Traction Control, Wheelie Control serta Launch Control.

Harga jualan bermula dari RM 69,900.