Ducati Monster 2021 hadir dengan rupa baharu, guna kerangka Panigale!

oleh Mohamad Hanif|
Ini merupakan model terakhir yang diperkenalkan oleh Ducati untuk tahun 2020, dan ia merupakan model yang bakal menggantikan peranan jentera Monster 797 dan 821 dengan menggunakan nama yang ringkas, Ducati Monster 2021.

Ducati Monster 2021 membawakan penampilan baharu, di mana unit lampu hadapan LED kini didatangkan dengan ciri lampu nyalaan siang, diikuti dengan lampu membelok LED dan lampu belakang LED.

 


Kerangka asal trellis frame yang digunakan sebelum ini telah digantikan dengan penggunaan kerangka hadapan yang lebih ringan 4.4 kg, diambil daripada Panigale V4 dan Multistrada V4, sekaligus menjadikan berat Monster 2021 ini sekitar 166 kg sahaja.

Turut menyumbang kepada penjimatan berat badan adalah rim aluminium (kurang 1.7 kg), lengan ayun yang direka semula (-1.6 kg) dan subrangka belakang yang menggunakan teknologi Glass Fiber Reinforced Polymer (-1.9 kg).

 


Jentera Monster 2021 ini didatangkan dengan enjin L-Twin Testastretta 11 darjah bersesaran 937 cc (daripada model Hypermotard 950) bagi menghasilkan 111 kuasa kuda dan 93 Nm daya kilas @ 6,500 rpm.

Untuk memastikan posisi tunggangan yang lebih menegak, bar hendal telah diposisikan 70 mm lebih dekat dengan penunggang, diikuti dengan tempat pemijak kaki, serta ketinggian tempat duduk sekitar 820 mm yang boleh direndahkan kepada 775 mm dengan kit spring opsyen.

 


Tiga mod tunggangan didatangkan iaitu Sport, Urban dan Touring di mana ia turut dibantu dengan kelengkapan elektronik seperti ABS Cornering, Traction Control, Wheelie Control, dan Launch Control.

Segala informasi berguna akan dipaparkan menerusi skrin TFT berwarna bersaiz 4.3 inci dengan elemen penggayaan diambil daripada Panigale V4.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan USD 43 mm, dan penyerap hentak tunggal di belakang dengan tetapan pra-muatan, sementara rim aloi dibaluti dengan tayar Pirelli Diablo Rosso III.

 


Aspek pemberhentian jentera ini diserahkan kepada sistem brek Brembo M4.32 monobloc terdiri daripada angkup empat omboh dan cakera 320 mm di hadapan, dan angkup dua omboh dengan cakera 245 mm di bahagian belakang.

Terdapat dua varian ditawarkan iaitu varian standard dan Monster+, di mana versi Monster+ itu mendapat penambahan kecil iaitu reraup kecil dan pelindung tempat duduk belakang.

 


Tiga warna boleh dipilih iaitu Ducati Red, matte black dan aviator gray (dengan rim fluorescent red), manakala harga jualan pula bermula dari $11,895 (RM48,478) sehingga $12,195 (RM49,700).

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Sebagai info, Ducati Monster 2021 telah pun dilancarkan di peringkat global pada penghujung tahun…