Desert X dikuasakan enjin Testastretta V-Twin 937 cc yang berupaya menghasilkan 110 hp @ 9,250 rpm dan daya kilas 92 Nm @ 6,500 rpm, dengan nisbah lima gear pertama dipendekkan untuk laluan off-road, namun nisbah gear keenam dipanjangkan untuk tunggangan jarak jauh yang lebih menyenangkan.

Menurut Ducati, Desert X mendapat inspirasi daripada jentera Cagiva Elefant yang suatu ketika dulu beraksi di Rali Paris-Dakar pada era 80an dan 90an.
Desert X 2022 didatangkan dengan fork hadapan jenis terbalik KYB 46 mm dan penyerap hentak tunggal KYB di belakang, sementara sistem suspensi boleh laras sepenuhnya itu membenarkan jarak pergerakan sehingga 231 mm di depan dan 221 mm di belakang.

Sementara sistem brek pula terdiri daripada angkup empat omboh berkembar Brembo M50 monobloc dan rotor 320 mm di depan, diikuti dengan angkup dua omboh dan rotor 265 mm di bahagian belakang, dilengkapi rim bersaiz 21 inci dan 18 inci, dengan balutan tayar Pirelli Scorpion Rally STR.
Pada bahagian papan pemuka ia dilengkapi skrin TFT 5 inci, dan mempunyai enam mod tunggangan yang merangkumi Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally. Penunggang juga boleh mengubah Power Mode mengikut keselesaan.

Ducati menawarkan pilihan warna serba putih dengan gabungan kemasan merah seakan menyerupai penaja Lucky Strike pada Elefant.
Untuk kapasiti tangki, ia mempunyai tangki bersaiz 21 liter, Ducati turut menawarkan kapasiti tangki tambahan 8 liter yang boleh dipasang di bahagia subframe kanan jentera.
Sumber: MotoMalaya