Ducati APAC bakal anjur kembara 1000 km di Thailand, naik DesertX!

oleh Mohamad Hanif|
Ducati Asia Pacific bakal menganjurkan acara kembara Ducati Adventure Tour berjarak lebih 1,000 km bertempat di Thailand dalam masa terdekat.

Jelajah selama enam hari itu itu bakal menawarkan pengalaman ekspedisi yang membolehkan para peserta menyelami budaya dan warisan bersejarah Thailand dengan menggunakan motosikal kembara Ducati DesertX.
 

ducati


Kesemua peserta yang terlibat akan menerima tunjuk ajar daripada pakar professional Ducati, serta disokong oleh pasukan DART ASIA yang terlatih bagi memastikan perjalanan konvoi berjalan lancar.

Menurut Mardo Biondi, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasific berkata, "Dengan kejayaan penganjuran Ducati Riding Experiences seperti Track Days pada tahun lalu, kami gembira untuk memulakan lembar baharu Ducati Experience dengan menganjurkan Ducati Adventure Tour untuk Ducatisti merasai sendiri intipati sebenar Thailand dengan menggunakan Ducati DesertX.
 

Ducati


"Dengan Ducati Adventure Tour, kami berazam untuk mempamerkan gaya hidup Ducati yang premium, serta pengalaman mewah yang mampu meningkatkan rasa cinta pelanggan terhadap jenama ini," jelasnya lagi.

Dengan kos sekitar THB 92,000 (~RM11,695), anda boleh memilih empat sesi yang disediakan sepanjang tahun di mana ia turut merangkumi pakej penginapan, makanan, insurans perubatan sehingga THB 1,000,000 (~RM127,119), serta tidak ketinggalan sebuah Ducati DesertX dengan isian bahan api yang ditanggung sepenuhnya.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi serta akaun media sosial Ducati Asia Pacific.

Baca: Ducati DesertX 2022