Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam di mana seorang daripada mereka maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihak menerima maklumat awam mengenai nahas membabitkan tiga penunggang basikal warga asing pada jam 8.45 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila ketiga-tiga mangsa berusia 21 tahun menunggang basikal secara melawan arus dari Parit Yusof menghala ke Bukit Mor.
"Sebaik tiba di lokasi sebuah kenderaan tidak diketahui merempuh ketiga-tiga mangsa menyebabkan kesemua mereka tercampak ke bahu jalan.
"Dua daripada mereka yang meninggal dunia cedera parah di badan, manakala mangsa terselamat patah pergelangan tangan dan bahu kanan kini masih dirawat di HPSF," katanya.
Menurutnya, polis masih mengesan kenderaan yang terbabit dalam nahas itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairun Izham Noor Yusry di talian 013-9121508 atau mana-mana balai polis berdekatan.
SUMBER : HarianMetro