Dua tren LRT Kelana Jaya berjaya dialih keluar

oleh Mohamad Hanif|
Kedua-dua tren transit aliran ringan (LRT) yang terbabit dalam kemalangan, Isnin lalu, berjaya dibawa keluar, awal pagi tadi.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, proses mengeluarkan kedua-dua tren berkenaan dilakukan lebih awal dari tempoh masa dijanjikan selepas kakitangan bekerja tiga syif tanpa henti.

"(Tren) TR40 selamat sampai ke depoh Subang jam 3.45 pagi, manakala (tren) TR81 pula sampai di 'tail track' Gombak jam 4.51 pagi. Pihak Prasarana akan menumpukan kepada kerja-kerja pembaikan trek dari Stesen Kampung Baru ke Stesen KLCC.

"Bagaimanapun, Pasukan Pemulihan terpaksa menutup pembekalan kuasa untuk seluruh stretch yang terbabit iaitu dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai membabitkan lima stesen LRT iaitu Damai, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan Dang Wangi," katanya melalui hantaran dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Ka Siong berkata, sebaik kerja pembaikan stretch berkenaan selesai, pemeriksaan akan dibuat oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengesahkan tahap keselamatan penggunaan landasan terbabit.

"Bagi pengoperasian LRT hari ini berikutan penutupan bekalan kuasa dan masih terdapat satu landasan ditutup selepas kejadian, terdapat bottleneck kerana satu landasan beroperasi dari Stesen Damai ke Stesen Pasar Seni membabitkan tujuh stesen LRT mengambil masa 16 minit untuk melalui stretch berkenaan.

"Namun, kaedah platoon akan digunakan bagi dua tren memasuki landasan ke arah yang sama untuk mengurangkan kesan bottleneck," katanya.

Beliau berkata, terdapat 58 tren LRT bagi Laluan Kelana Jaya akan beroperasi sepenuhnya tanpa pengurangan frekuensi seperti diumumkan semalam selepas melawat pusat kawalan operasi (OCC).

"Saya memberi jaminan bahawa pihak Prasarana akan bertungkus-lumus membaiki landasan pada hari ini supaya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

"Apabila landasan siap diperbaiki, tiada lagi kesan bottleneck dan perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap 50 peratus kapasiti.

"Ia adalah seperti yang disyaratkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan sehingga 7 Jun nanti tanpa mengurangkan frekuensinya seperti kenyataan media saya pada 22 Mei lalu," katanya.

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kami juga buat program untuk membaik pulih sebahagian set yang sudah lama jadi ia boleh digunakan…
Informasi
Katanya, penaiktarafan sistem tiket atau Automatic Fare Collection (AFC) kini hampir selesai di…
Informasi
Jawatankuasa yang terlibat pada dasarnya bersetuju untuk meningkatkan kekerapan kereta api, menurut…