"Sekarang ini kita sedang menilai mana yang mempunyai cadangan lebih baik.
"Dengan perkembangan ini, kita menjangkakan projek tersebut boleh dianugerahkan dan ditandatangani bersama pemaju menjelang suku keempat tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Perak kali ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.
Ujar Anthony, projek dilaksanakan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di bandar raya Ipoh selari dengan pengoperasian stesen itu sebagai laluan penting dan sibuk.
Katanya, selain kekerapan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan ETS Ekspres dari Kuala Lumpur ke Ipoh, stesen itu juga menjadi laluan komuter untuk ke utara.
"Untuk ke hadapan, kita memang ada perancangan untuk menambah kekerapan perkhidmatan ini.
"Jadi stesen ini nanti bukan sahaja berperanan sebagai stesen warisan, tetapi laluan yang penting dan paling sibuk," katanya.
Pelan pembangunan iRide seluas 78 hektar yang dilancarkan pada Oktober 2019 merupakan projek kerjasama RAC dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menyasarkan pembangunan kawasan seluas 27 hektar secara bersepadu dan diintegrasi sebagai hab pengangkutan utama.
Pembangunan di kawasan itu dipecahkan mengikut segmen tertentu merangkumi perumahan termasuk mampu milik, hotel, institusi pendidikan, komersial, kawasan hijau dan bercampur bagi memastikan pembangunan ini seimbang dan komprehensif.
Sumber: Sinar Harian