Dua polis peronda cedera, suspek lempar objek besi diburu

oleh Hamimah Hamid|
SUSPEK yang terlibat dalam kejadian kejar mengejar di Kilometer 215 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Taiping, Isnin lalu hingga mengakibatkan dua anggota polis cedera sedang diburu polis.

Dalam kejadian sekitar jam 6.50 pagi itu,
suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang turut bertindak melempar objek besi berjaya meloloskan diri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian terbabit, dua anggota berpangkat koperal dan lans koperal cedera.

 

Katanya, anggota terbabit yang berusia 29 dan 38 tahun luka di kepala dan sakit di beberapa bahagian badan termasuk dada dan tengkuk selepas kereta peronda jenis Honda Civic 1.8 (SPANCO) dinaiki hilang kawalan.

Gambar tular di facebook

"Kenderaan itu terbabas dan berpusing sebelum melanggar penghadang jalan akibat melanggar satu objek besi yang dilemparkan suspek," katanya.

 

Sebelum kejadian, anggota unit kereta peronda (MPV) terbabit menerima arahan daripada pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi memberi bantuan kepada lima lagi MPV polis dari IPD Ipoh dalam usaha menahan kenderaan dinaiki suspek.

 

Difahamkan, kenderaan suspek dikejar kereta peronda polis sejauh lebih 50 kilometer iaitu dari Plaza Tol Ipoh Utara melepasi ke Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.

 

Dalam insiden mengejar itu, kenderaan dinaiki dua anggota terbabit memberi amaran menggunakan pembesar suara sebanyak tiga kali agar suspek memberhentikan kenderaan.

 

Amaran itu bukan sahaja tidak diendahkan, malah suspek bertindak melempar keluar objek besi sebelum mengenai bahagian bawah kereta peronda polis.

 

Sumber : Sinar Harian