Dua Pelajar Tingkatan Satu Maut, Motosikal Rempuh MPV Ketika Dalam Perjalanan ke Sekolah

oleh Qalif Latif|
Dua pelajar lelaki tingkatan satu maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Bukit Kluang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Wan Mohamad Shahronny Wan Rosli dan Nik Aqil Faizin Nik Abdul Aziz, masing-masing berusia 13 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar berkenaan menunggang dan membonceng motosikal jenis Yamaha Y16ZR dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Nissan Serena yang dipandu seorang wanita keluar dari simpang untuk membelok ke kanan menuju ke tempat kerja di Institut Pendidikan Guru (IPG) berhampiran.

Sebaik tiba di lokasi, motosikal yang dinaiki dua pelajar itu datang dari arah Bukit Kluang dan melanggar bahagian hadapan kereta terbabit. Akibat hentaman kuat, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Air Tawar meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat kedua-dua pelajar dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat.

Superintenden Azamuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Sidiq Omar di talian 011-3170 2709 bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen.

Perbuatan membenarkan remaja bawah umur menunggang kenderaan boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain. Pemakaian topi keledar juga perlu diberi penekanan terutama kepada pelajar sekolah yang menunggang motosikal,” tegasnya.

Sumber: Sinar Harian


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Bagi tangkapan sebelum ini, (suspek) diberikan jaminan polis (selepas selesai tempoh reman). "…
Berita Domestik
Menurutnya, kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250…
Berita Domestik
"Pemeriksaan mendapati suspek memiliki lesen memandu yang sah. "Lelaki warga emas itu dibebaskan…