Dua model ini tidak akan menerima talaan AMG

oleh Mohamad Hanif|
Tidak keterlaluan untuk kami katakan, Mercedes-Benz merupakan antara pengeluar yang gemar mengisi pasaran niche dengan lambakan model talaan AMG.

Boleh dikatakan, hampir kesemua kelas-kelas di bawah 'sekolah' Mercedes-Benz menerima talaan berprestasi tinggi daripada rumah penala yang sinonim dengan jenama mewah Jerman itu. 

Namun, tidak semua model-model yang dihasilkan oleh Mercedes-Benz 'wajib' menerima naik taraf daripada AMG, ini kerana menurut laporan daripada Motor Trend, dua model yang dimaksudkan adalah Mercedes-Benz B-Class dan Mercedes EQC.
 


Buat mereka yang kurang arif berkenaan penamaan model Mercedes-Benz, B-Class merupakan model MPV kompak yang dibangunkan khusus untuk keluarga, dan sudah tentu pelik apabila MPV tersebut didatangkan dengan versi berprestasi tinggi.

Baca: Kenali format penamaan Mercedes-Benz!

Pun begitu, Mercedes tetap tidak melupakan mereka yang mahukan imej kelajuan pada MPV keluarga dengan menawarkan pakej AMG Line sebagai satu opsyen tanpa penambahan kuasa. 

Ataupun jika mahu opsyen yang lebih murah, boleh memilih model A 35 AMG.

 


Selain daripada itu, Mercedes EQC juga turut dikatakan tidak akan menerima sentuhan AMG, ini kerana ketua AMG Tobias Moers memberitahu bahawa kereta elektrik tidak memerlukan talaan penuh dari AMG. 

Sebaliknya, pakej AMG Line akan ditawarkan bagi memberikan penampilan yang lebih 'pantas' kepada SUV elektrik itu, seperti rim yang lebih besar dan trim yang lebih sporty. 

Dalam keadaan standard, Mercedes EQC sudah memiliki spesifikasi yang mampu meninggalkan kenderaan lain dengan mudah, terima kasih kepada motor elektrik berkuasa 402 kuasa kuda dan pecutan bawah 5 saat dari 0-100 km/j!

Walaupun model elektrik seperti EQC telah disahkan tidak menerima sentuhan AMG, rumah penala itu tidak pernah menolak secara total elektrifikasi trenkuasa sedia ada. 
 


AMG kini sedang membangunkan model AMG GT empat pintu versi hibrid yang mampu memberikan saingan kepada Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid. 

Selain daripada itu, AMG juga kini selangkah ke hadapan apabila model-model generasi baharu AMG seperti C 63 dan S 63 juga diberitakan akan menerima trenkuasa plug-in hybrid tidak lama lagi. 

Bagaimana pula prestasi jentera plug-in hybrid yang akan dipasang lencana AMG ini? Sama-sama kita nantikan. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Peningkatan ini menggariskan kejayaan syarikat ini ke arah peralihan masa depan yang dipacu…
Berita Global
Menurut laporan CBS News, wakil jurucakap memberitahu CBS MoneyWatch dalam satu emel yang berbunyi…
Berita Global
Penambahan huruf "SUV" di belakang EQE itu adalah untuk membezakannya dengan sebuah lagi model…