Dua maut, dua lagi parah kemalangan di Lebuhraya Persekutuan

oleh Penyumbang Rencana|
Tiga individu berada di lorong kanan lebuh raya sebelum dirempuh pemandu Mercedes
Dua individu maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 11.9 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian pada jam 4.20 pagi, sebuah kereta Mercedes yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh tiga orang awam yang berada di lorong paling kanan lebuh raya itu.

Beliau berkata difahamkan ketiga-tiga mangsa telah keluar daripada kenderaan masing-masing, sebelum dirempuh sebuah Mercedes dipercayai tidak sempat mengelak ketika melalui jalan sama.

"Pelanggaran itu mengakibatkan pemandu dan penumpang Honda HR-V maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Suprima serta pemandu Mercedes mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

"Punca kematian kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai head and body injury due to motor vehicle accident dan siasatan lanjut mendapati mangsa lelaki dan wanita yang maut itu bukan pasangan suami isteri, sebaliknya hanya rakan.

Ramsay berkata sampel darah serta air kencing pemandu Mercedes telah diambil untuk ujian kimia dan sehingga kini pihak polis masih menunggu laporan penuh.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya mencari tempat selamat untuk berhenti jika berlaku kemalangan di lebuh raya atau jalan-jalan utama serta mengelakkan berada di atas jalan raya terutama di lorong paling laju," katanya.

Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.

Terdahulu tular rakaman video telah dimuat naik di beberapa platform media sosial memaparkan kemalangan maut itu.

Video di sini

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Projek itu bermula sejak tahun lalu menerusi Rolling Plan 5 (RP5) di bawah Rancangan Malaysia ke-…
Berita Domestik
"Berdasarkan data bacaan lalu lintas 2024, tahap perkhidmatan jalan (LOS) di FT2 Lebuhraya…
Berita Domestik
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 6.20 pagi apabila kereta berkenaan dipercayai…