Dua lorong manual RFID dibuka di Plaza Tol Bandar Cassia

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) memaklumkan bahawa dua lorong manual Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) telah dibuka di Plaza Tol Bandar Cassia, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) untuk kemudahan pengguna.

JKSB yang merupakan pemegang konsesi JSAHMS dalam kenyataan memaklumkan dua lorong terlibat ialah Lorong K23, Plaza Tol B dari arah Lebuh Raya Utara-Selatan ke Bandar Cassia dan Lorong M4 (Plaza Tol C) dari Bandar Cassia menuju ke Lebuh Raya Utara-Selatan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

"Kedua-dua lorong manual RFID itu boleh dilalui pada waktu puncak pada hari Isnin hingga Jumaat iaitu di sebelah pagi bermula 6.30 pagi hingga 9.30 pagi, manakala pada sebelah petang pula antara 4.30 petang hingga 7 malam.

"Pembukaan lorong manual berkenaan adalah bertujuan bagi mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak," menurut JKSB.

Menurut kenyataan itu petugas tol akan dilengkapi dengan peranti mudah alih di lorong manual berkenaan untuk mengimbas tag atau pelekat RFID bagi membantu mempercepatkan transaksi pengguna.

Sehubungan itu, JKSB menasihatkan orang ramai agar dapat memastikan baki kad atau e-dompet mereka mencukupi bagi perjalanan yang lancar.

 

Bernama