Dua ejen tarik kereta didenda RM2,500 rosakkan BMW 7 Series

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Dua ejen penarik kereta masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar, selepas didapati bersalah merosakkan sebuah kereta jenis BMW Isnin lalu.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhi hukuman itu terhadap K Richard, 32 dan G Thanesh Prasanth, 34 selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan itu dengan merosakkan cermin tingkap dan pemegang pintu pemandu kereta milik seorang lelaki berusia 35 tahun menggunakan objek menyerupai batang besi serta pisau.

Kesalahan dilakukan di tempat letak kenderaan di hadapan sebuah restoran di Jalan Parit 8, Kampung Sungai Leman, Sekinchan pada jam 7 petang 5 Januari lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syabil Aiman Asraf manakala kesemua tertuduh diwakil peguam P S Muraliraj.

Terdahulu, Muhammad Syabil Aiman memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal terhadap tertuduh dan memaklumkan perbuatan khianat itu adalah kesalahan serius selain membabitkan kerugian harta benda.

Bagaimanapun, Muraliraj merayu hukuman denda diringankan atas alasan kedua-dua tertuduh memberi kerjasama penuh serta masih menanggung keluarga.

Media sebelum ini melaporkan punca kejadian disebabkan kereta BMW 7 Series terbabit mempunyai tunggakan bank selama 16 bulan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad, dilaporkan berkata polis kemudian berjaya menahan kesemua suspek di tepi Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur kira-kira jam 2.30 pagi.

BuletinTV3

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketika ini, tempoh sambung reman terhadap suspek berusia 19 tahun yang dilanjutkan dua hari pada…
Berita Domestik
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan menghina dengan menunjukkan…
Berita Domestik
Mengikut pertuduhan, lelaki warga emas itu sebagai pemandu didakwa memandu kenderaan di jalan raya…