Dua beradik maut langgar lubang - Menteri Kerja Raya akan temui syarikat konsesi

oleh Penyumbang Rencana|
foto kejadian Jumaat lalu
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan bertemu dengan wakil syarikat konsesi yang menyelenggara jalan berlubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Johor, sehingga meragut nyawa dua beradik dalam kemalangan Jumaat lalu.

Alexander berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut dan keadaan sebenar bagi kejadian terbabit.

"Rabu petang saya akan ke pejabat syarikat konsesi itu dan bertemu dengan pegawai di sana.

"Sebelum ini pun saya sudah menegur dan meminta syarikat ini ambil tanggungjawab atas kes ini, supaya pada masa akan datang kejadian seumpama ini tidak akan berulang.

"Seharusnya ada pemantauan yang lebih kerap serta terperinci untuk kerja baik pulih mana-mana jalan yang rosak," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor terpilih, di kementeriannya, pada Selasa.

Jumaat lalu, dua remaja yang juga adik beradik masing-masing berusia 16 dan 17 tahun meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang.

Kedua-dua mangsa iaitu Norhazim Kamaruzaman dan adiknya, Nur Alif iIkhwan dalam perjalanan ke sekolah. Mereka meninggal dunia lokasi kejadian kerana parah di kepala dan badan.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua yang terbabit dalam projek infrastruktur rakyat ini, sama ada pihak KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau kontraktor untuk mengambil iktibar daripada peristiwa ini supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.

"Laksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Saya harap kontraktor pembinaan terutama yang terpilih hari ini tidak 'cutcorners' hingga menjejaskan kualiti jalan dan jambatan.

"Ini kerana tuan-tuan tidak hanya membina jalan dan jambatan tetapi membina kehidupan dan masa depan negara.

"Kegagalan kita mengikut spesifikasi dan standard atau cut-corners boleh menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa sekali gus menjejas imej negara," katanya.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan…