DS Automobiles mula buka tempahan DS7 Crossback - dari RM199,888

oleh Mohamad Hanif|

Tahun lalu, kami pernah melaporkan pembukaan pusat pameran DS Automobiles bertaraf 3S pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, bertempat di Petaling Jaya. 

Dalam masa yang sama, mereka turut mempamerkan sebuah model crossover mewah DS7 Crossback, namun pada ketika itu tiada sebarang harga didedahkan kepada umum. 

Menerusi laman rasmi Facebook DS Automobiles - DS Store Petaling Jaya, mereka telah membuka tempahan awal bagi crossover tersebut yang didatangkan dengan varian tunggal Performance Line pada harga anggaran RM199,888 atas jalan tanpa insurans. 


Dari segi kelengkapan, ia membawakan penggayaan yang lebih mewah dan setanding dengan jenama-jenama premium lain yang berada di pasaran. 

Lihat sahaja pada rekaan luaran yang tampak ekslusif dengan lampu utama LED, lampu kabus serta lampu nyalaan siang LED yang unik penampakannya. 
 


Manakala ruang arca roda juga dihiasi dengan pemakaian rim Beijing Black Onyx bersaiz 19 inci, sebelum diakhiri dengan lampu belakang yang menampilkan rekaan grafik berlian. 

Ruang dalaman juga nampak mewah dengan penggunaan upholsteri Alcantara, papan instrument digital, serta corak yang didapati pada tempat duduk dan suis kawalan. 

Antara aksesori lain yang dimuatkan termasuklah sistem bunyi keliling Focal Electra dengan 14 pembesar suara, tempat duduk berkuasa, kawalan digital untuk corong pendingin hawa belakang, serta jam analog di tengah papan pemuka. 
 


Dari segi nadi kuasa pula, DS7 Crossback hadir dengan enjin 1.6 liter THP dengan janaan kuasa 165 hp dan 240 Nm yang memacu roda hadapan menerusi transmisi auto enam kelajuan. 

Apabila diterjemahkan kepada kuasa pecutan, DS7 Crossback mampu mencapai catatan masa 10.2 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan tertinggi 220 km/j. 

Ciri keselamatan juga tidak dilupakan dengan kehadiran enam buah beg udara, ABS, EBD, Brek Kecemasan, Program Kestabilan Elektronik, Kawalan Kestabilan Dinamik, Anti-Skid Regulation, Amaran Tumpuan Pemandu serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang. 
 


Difahamkan model crossover premium ini akan dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan. 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
DS Automobiles Malaysia telah rasmi melancarkan model SUV premium baharu, DS7 Crossback bertempat…
Pelancaran
Pusat pameran bertaraf mercu ini dirasmikan oleh Yves Bonnefont, CEO DS Automobiles dan Dato' Anand…
Berita Global
  Peugeot mendahului dalam segment SUV di Eropah dengan angka jualan sebanyak 339,200 unit. Model…