DS 9 - pendatang baharu dalam segmen sedan mewah dunia

oleh Mohamad Hanif|
Pasaran sedan premium kini menerima sebuah lagi pendatang baharu, kali ini dari jenama mewah Groupe PSA, DS Automobiles.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

DS 9 merupakan sedan mewah bersaiz pertengahan yang dibangunkan daripada platform pacuan roda hadapan EMP2 yang turut sama digunakan oleh sedan fastback Peugeot 508 yang seksi itu. 

Pun begitu, DS 9 memiliki jarak antara roda yang lebih panjang (2,895 mm) berbanding jarak antara roda Peugeot 508 (2,795 mm). 
 


Sedan mewah DS 9 ini merupakan sebuah model plug-in hybrid dengan enjin PureTech 1.6 liter yang digandingkan dengan motor elektrik tunggal menghasilkan 225 kuasa kuda. 

Pek bateri berkapasiti 11.9 kWh pula memberikan jarak operasi sifar emisi sejauh 50 kilometer dengan kelajuan yang dihadkan kepada 135 km/j sekiranya kereta dipacu dengan menggunakan motor elektrik semata-mata. 

Selain daripada trenkuasa yang disebutkan, terdapat juga versi yang lebih berkuasa 250 kuasa kuda dan versi berprestasi tinggi 360 kuasa kuda yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda. 
 


Kesemua enjin diatas didatangkan dengan sistem transmisi automatik lapan nisbah kelajuan. 

Tidak lengkap sebuah sedan mewah tanpa barisan teknologi yang terkini bagi menarik perhatian pengguna. 

Ia dimulakan dengan sistem suspensi aktif yang akan mengimbas keadaan permukaan jalan di hadapan dan kemudian mengarahkan sistem untuk bertindak memberikan pemanduan yang lebih selesa tidak kira apa jua keadaan jalan. 
 


Sistem lampu utama LED pula didatangkan sehingga lima mod suluhan bergantung kepada keadaan jalan seperti bandar, luar bandar, pemanduan di lebuhraya, kawasan parkir dan juga cuaca buruk. 

Pemanduan malam dibantu dengan sistem penglihatan malam di mana imej akan dipaparkan menerusi paparan digital kluster. 

Papan pemuka sedan DS 9 ini menampilkan pendekatan yang minimalis di mana skrin paparan besar digunakan bagi memaparkan segala tetapan yang diperlukan. 
 


DS Automobiles turut menawarkan perkhidmatan penyesuaian peribadi digelar sebagai DS Inspirations terdiri daripada opsyen upholsteri kulit, Alcantara, serta sistem pencahayaan berasaskan mood pemandu. 

Dari segi pemanduan, DS 9 ini menawarkan sistem pemanduan semi autonomi Tahap Kedua yang merangkumi kawalan pelayaran adaptif serta brek automatik
dengan kelajuan sehingga 180 km/j. 

Namun, tidak seperti sistem lain, DS Drive Assist ini hanya membenarkan anda untuk kekal di dalam laluan yang sama, dan ia akan 'dimatikan' sekiranya anda menggunakan signal indikasi untuk menukar laluan. 
 


Walaupun dengan kehadiran teknologi bantuan pemanduan sedia ada, mereka juga tetap mahukan pemandu kekal berwaspada dengan DS Driver Attention Monitoring yang akan berbunyi sekiranya berjaya mengesan pemandu kepenatan berdasarkan pergerakan muka dan kepala, serta pergerakan stereng. 

Diproduksikan di China, DS Automobiles akan mula menjual sedan DS 9 ini pada separuh kedua 2020. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  31 peratus daripada mereka yang mengalami tekanan mengakui bahawa ini menjejaskan keupayaan…
Berita Global
Dalam satu sesi pembentangan prestasi jualan untuk separuh pertama tahun 2021, Stellantis turut…
Model Terbaharu
DS Automobiles Malaysia telah rasmi melancarkan model SUV premium baharu, DS7 Crossback bertempat…