Beliau berkata, dron sasaran itu boleh digunakan ketika proses latihan ujian tembakan yang menggunakan peluru berpandu darat ke udara atau udara ke udara.
"Selepas siap sepenuhnya, dron sasaran keluaran pertama negara ini akan berfungsi sebagai simulasi jet pejuang musuh yang ditembak ketika ujian tembakan dibuat.
"Ketika ini, pembinaan dron sasaran hampir siap dan kita sedang melakukan siri ujian penerbangan bagi memastikan kualiti dron yang dihasilkan berada pada tahap tertinggi dan memenuhi kriteria ditetapkan.
"Kami menjangkakan dalam tempoh dua tahun lagi, dron sasaran menggunakan teknologi tempatan dapat dikeluarkan dan memasuki pasaran," katanya ketika ditemui di gerai pameran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawai pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Urusan SGT Ventures, Datuk Syaiful Izdihar Baderi berkata, dron sasaran lazimnya digunakan untuk latihan ketenteraan, khususnya Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) Tentera Darat (TD).
"Ketika ini kami membekalkan dron sasaran kepada pihak terbabit yang dibeli dari Sepanyol dan pesawat kecil itu dijadikan sasaran tembakan daripada senjata ketenteraan yang dibariskan di darat.
"Selalunya kawasan yang digazetkan sebagai lokasi latihan ketenteraan membabitkan penggunaan dron sasaran ini dilakukan di Kota Tinggi, Johor dengan kekerapan dua tahun sekali," katanya.
Beliau berkata, dron sasaran buatan Sepanyol yang dibekalkan pihaknya untuk kegunaan latihan ketenteraan ketika ini dilengkapi enjin turbo seberat 40 kilogram yang mampu terbang selaju 500 kilometer sejam.
"Malah, ia turut memiliki sistem penunjuk jarak jauh (MDI) yang menampakkan dron yang hanya bersaiz 2.9 meter panjang dan 2.5 meter lebar itu sebagai bersaiz besar seolah-olah pesawat tentera sebenar.
"Badan Dron yang kami sedang bangunkan diperbuat daripada gentian kaca dan memiliki spesifikasi sama, cuma masih menggunakan enjin sama seperti dihasilkan oleh Sepanyol," katanya.