Drift King uji Corolla berkuasa hidrogen di Litar Tsukuba

oleh Mohamad Hanif|
Dunia kini sedang membilang tempoh jangka hayat bagi kenderaan berenjin pembakaran dalaman, memandangkan sebilangan besar pengeluar sudah pun mula menghentikan penawaran kereta ICE dan fokus kepada trenkuasa elektrik.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jenama seperti Mercedes-AMG, BMW M dan Hyundai N sudah mula menumpukan perhatian terhadap kenderaan elektrik berprestasi tinggi.

Bagaimana pula dengan Toyota menerusi jenama Gazoo Racing mereka?

Bagi mereka yang mengikuti rapat perkembangan Toyota, sudah pasti anda tahu tentang kewujudan sebuah kereta lumba Corolla Sport berkuasa hidrogen.
 

Corolla


Ya, ia masih lagi dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman (lebih tepat lagi enjin GR Yaris!), akan tetapi sistem pancitan bahan api konvensional telah digantikan terus dengan menggunakan suapan bahan api hidrogen.

Tidak seperti Toyota Mirai yang menggunakan sistem sel bahan api hidrogen yang ternyata sangat berbeza dari segi operasi dan juga tahap kesenyapannya.

Keberkesanan sistem itu telah berjaya dibuktikan apabila kereta lumba itu mampu menghabiskan perlumbaan Super Taikyu Series 24 Jam yang dianjurkan pada bulan Mei yang lalu, dengan jumlah pusingan 358 km berjarak 1,634 km.
 

Corolla


Dalam video terbaharu Hot Version diterbitkan minggu lalu menerusi saluran YouTube, pelumba terkenal Keiichi Tsuchiya dan Nobuteru Taniguchi telah diberikan kesempatan menguji sendiri jentera tersebut di Litar Tsukuba, dan membanding bezakan jentera lumba tersebut dengan sebuah model GR Yaris yang sebenar.

Menurut ketua jurutera Toyota Naoyuki Sakamoto menjelaskan, unit enjin GR Yaris dipilih disebabkan oleh rekaannya yang ringan dan kompak, serta mampu bertahan di bawah output kuasa yang tinggi.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa perubahan yang perlu dibuat disebabkan oleh penggunaan bahan api yang berbeza pada enjin GR Yaris tersebut, seperti unit pemancit bahan api yang dibangunkan serba baharu.

Jadi, dengan menggunakan enjin G16E-GTS yang sama namun dengan sistem suapan bahan api hidrogen, berupaya menghamburkan kuasa setinggi 304 PS dan 400 Nm, jauh lebih tinggi berbanding output GR Yaris 272 PS.
 

Corolla


Untuk kegunaan perlumbaan, isian penuh setangki hidrogen 180 liter membolehkan jentera ini berlumba selama 30 minit, dengan tempoh pengisian kini dipendekkan kepada 3.5 minit untuk setiap hentian pit.

Untuk sebuah jentera lumba, berat merupakan satu aspek yang sangat kritikal. Disebabkan dengan penambahan sistem bahan api hidrogen itu tadi, berat jentera lumba Corolla Sport ini mencapai 1,700 kg, kurang sedikit daripada berat standard sebuah Nissan GT-R R35.

Berdasarkan bunyi not ekzos yang dihasilkan, agak sukar untuk meneka kereta ini sebenarnya menggunakan sistem suapan bahan api yang berbeza, malah pelumba handalan seperti Keiichi Tsuchiya dan Nobuteru Taniguchi sendiri mengakui kereta lumba perlu memiliki identiti bunyi yang tersendiri.

Video penuh boleh disaksikan pada pautan YouTube di bawah (sari kata dalam bahasa Inggeris tersedia):
 

Sumber: Youtube Best MOTORING

Berita Berkenaan

Berita Global
Anda masih lagi boleh melihat betapa aktifnya beliau di dalam beberapa acara sukan permotoran (…
Berita Global
Apabila menyebut tentang Hyundai, sejarah awalnya bukanlah menunjukkan imejnya sebagai sebuah…
Berita Domestik
Beliau mula menempa nama sebagai pelumba Jepun pertama yang memenangi perlumbaan Grand Prix pada…