Drag Gong Badak - tidak terima kelulusan MAM

oleh HEZERI SAMSURI|
Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) berkata acara lumba drag yang berlangsung di litar Gong Badak, Terengganu pada 15 Oktober lalu tidak menerima kelulusan dan tidak dikawal-selia oleh badan sukan itu.

Menurut siaran media MAM yang hanya diterbitkan di laman Facebook persatuan itu, acara Drag Battle of the Kings (BOTK) 2022 itu tidak pernah diberi kelulusan untuk dilangsungkan di litar tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

MAM juga menerangkan hanya acara sukan permotoran dua roda sahaja yang diluluskan untuk litar drag terlengkap negara itu bagi tahun 2022, iaitu untuk Petronas Malaysian CubPrix.

Acara-acara yang dikawal selia (sanctioned events) oleh pihak MAM akan dijalankan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang ditetapkan oleh badan sukan permotoran dunia, FIA dan FIM serta Peraturan Pertandingan Kebangsaan (NCR).

Garis panduan tersebut merangkumi penganjur-penganjur, kemudahan fasiliti, peserta-peserta dan kenderaan-kenderaan yang digunakan.  

Penganjur acara sukan permotoran digalakkan untuk menganjurkan acara yang hanya menerima kelulusan dan kawal-selia oleh MAM.

MAM menambah bahawa pihaknya dan Kementerian Belia & Sukan (KBS) sudahpun bersemuka sebelum ini untuk meluluskan spesifikasi dan kemudahan untuk perlumbaan drag yang diluluskan oleh FIA dan FIM. 

Spesifikasi dan syarat yang dipersetujui adalah untuk kemudahan penyelenggaraan yang murah tetapi dengan tahap keselamatan yang tinggi bagi membolehkan sukan perlumbaan itu membangun dan berkembang.

Menurut sumber Careta, kebanyakan pihak berkuasa tempatan kini mahukan acara sukan permotoran yang dikawal selia oleh MAM sahaja untuk memastikan kualiti keselamatan yang baik bagi mengurangkan risiko-risiko.

 

 

Menurut siaran media dari gabungan kelab sukan permotoran yang dikawal-selia MAM pula, walaupun Malaysia tidak mempunyai Prosidur Operasi Standard (SOP) yang rasmi untuk permit mengadakan acara sukan permotoran, kelab-kelab itu berpendapat permit dari MAM adalah dokumen terpenting untuk diperolehi sebelum menerima kelulusan dari Pesuruhjaya Sukan.

Gabungan kelab yang terdiri dari Malaysia Speed Festival (MSF), Kelab Sukan Bermotor Integrasi, Kelab Sukan Bermotor Mines, Persatuan Pocket Bike Malaysia, Kelab Millenium Motorsports & Adventure, Kelab Sukan Bermotor BRAAAP dan Kelab Sukan Bermotor Maju juga berpendapat mana-mana badan atau organisasi yang membina dan membangunkan fasiliti untuk sebarang acara sukan permotoran perlu berhubung dengan MAM untuk memastikan acara yang dijalankan mematuhi piawaian agar ia selamat untuk digunakan bagi acara-acara sukan permotoran.

Pihak penganjur juga boleh berbincang dengan MAM sekiranya ia gagal untuk meningkatkan peralatan keselamatan minima di litar yang hendak digunakan bagi mencari jalan penyelesaian.

MAM dan gabungan persatuan-persatuan sukan permotoran itu juga mengucapkan takziah kepada keluarga Muhamed Hafez Jamal Jamaludin yang meninggal dunia akibat kemalangan semasa acara BOTK berlangsung tempohari.