Dr. Kulanthayan jadi rakyat Malaysia pertama terajui organisasi keselamatan jalan raya global

oleh Mohamad Hanif|
Profesor Jabatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Kulanthayan K.C. Mani dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance, badan bukan kerajaan (NGO) bagi keselamatan jalan raya yang baharu untuk tempoh dua tahun sehingga 2024.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

UPM dalam satu kenyataan hari ini berkata Kulanthayan ialah Pengerusi ketiga pertubuhan itu sejak ditubuhkan pada 2011 dan juga individu pertama dari Asia selepas pengerusi pertama dan kedua dari Amerika Syarikat iaitu Jeffrey Witte dan Rochelle Sobel.

“Dr. Kulanthayan KC Mani telah menjadi Ahli Lembaga Pengarah (organisasi) sejak 2019 dan mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Pengangkutan dari UPM pada 2002 dan Diploma Keselamatan Lalu Lintas dari Universiti Lund, Sweden pada 2007.

“Beliau juga penerima Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael (Prince Michael International Road Safety Award) pada 2017,” menurut kenyataan itu.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu adalah ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) sejak 2013 dan Ahli Gabungan Keselamatan Jalan Raya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak 2020.

Kulanthayan dalam ucapan penerimaannya berjanji untuk melakukan yang terbaik ke arah mencapai sasaran pengurangan 50 peratus jumlah kematian dan kecederaan seperti yang ditetapkan dalam Pelan Global untuk Dekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2021-2030.

“Beliau juga menyeru semua ahli gabungan global untuk advokasi pimpinan negara masing masing agar menghadiri Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Global dalam Keselamatan Jalan Raya di New York, Amerika Syarikat, pada 30 Jun depan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pertubuhan Bukan Kerajaan gabungan global bagi Keselamatan Jalan Raya telah menganjurkan Mesyuarat Global Ketujuh NGOs Advokat untuk Keselamatan Jalan Raya dan Mangsa Rod di Budapest, Hungary pada 23 dan 24 Mac yang dirasmikan oleh Profesor Laszlo Palkovics (Menteri Inovasi dan Teknologi Hungary).

Sumber: Bernama