Donkervoort D8 GTO-JD70 - 415 hp, mampu jana 2G ketika ambil selekoh!

oleh Mohamad Hanif|
Donkervoort mungkin merupakan satu jenama yang asing bagi sesetengah di antara kita, di mana ia merupakan sebuah syarikat penghasil kereta sports ultra-ringan secara pemasangan tangan di Lelystad, Netherlands.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bagi menyambut ulang tahun yang ke-70 pengasasnya Joop Donkervoort, syarikat itu kini memperkenalkan sebuah kereta berprestasi tinggi iaitu D8 GTO-JD70. 

Nadi lima silinder sebaris 2.5 liter berkuasa turbo yang diperoleh daripada Audi itu mampu menjana 415 kuasa kuda dan 520 Nm daya kilas yang disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual lima kelajuan nisbah rapat. 

 


Bagi memastikan pengedaran kuasa yang lebih berkesan, talaan turut diberikan kepada sistem ekzos baharu, sway bar hadapan dan belakang boleh laras, dan penyerap hentak boleh laras tiga cara. 

Sistem aerodinamik juga turut diambil kira dengan pemakaian muka hadapan baharu, arca roda dan beberapa komponen menyaksikan penghasilan tenaga downforce sebanyak 80 kg di belakang dan 50 kg di hadapan. 

Lebih daripada 95 peratus hasil kerja badan kereta ini diperbuat daripada gentian karbon, di mana ia menyumbang kepada berat kereta yang kurang daripada 700 kg sahaja!
 


Kesemua talaan ini membolehkan JD70 mampu menjana lebih daripada 2G ketika mengambil selekoh serta 1.56G ketika proses nyahpecutan dilakukan. 

Fasa pecutan pula mampu menjana tenaga puncak 1.02G. 

Menurut Denis Donkervoort, pengarah urusan syarikat tersebut menjelaskan, "JD70 kini berlainan daripada pengiraan normal terhadap pecutan, nyahpecutan dan juga pembelokan dengan menggunakan tenaga G. 

"Ia adalah sebuah mesin sebenar untuk pemandu," ujar beliau lagi.
 


Hanya 70 unit sahaja yang dihasilkan untuk D8 GTO-JD70 dengan harga jualan bermula dari €163,636 (RM762,069).