Dominasi Grab - menguntungkan atau kembali seperti zaman teksi?

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Berita Grab mengambil alih operasi Uber di Asia Tenggara menjadi perbualan ramai semalam dengan rata-rata ramai yang risau akan monopoli Grab pada pasaran perkhidmatan e-hailing tersebut.

Percaturan berani MyTeksi untuk menyambut kehadiran Uber di Malaysia dengan menghasilkan Grab yang mempunyai konsep yang sama memang membuahkan hasil. Grab mempunyai pengalaman akan perkhidmatan e-hailing tempatan, hasil operasi MyTeksi mereka.

Malah, platform perisian MyTeksi yang direka dahulu dan kemudiannya digunakan oleh Grab memang lebih sesuai untuk pasaran Asia Tenggara, menyebabkan Uber tidak mampu menawarkan konsep yang dimahukan oleh pemandu Grab/Uber tempatan.

Namun begitu, sebagai konsumer, perkhidmatan Grab mempunyai satu masalah atau "penyakit" yang dibawa dari zaman teksi: Pemandu Grab boleh melihat destinasi yang hendak dituju oleh pelanggan.

 

 

Walaupun Grab mempunyai sistem point yang memastikan pemandu tidak boleh menolak permintaan terlalu kerap, kita boleh lihat ia tidak begitu diendahkan oleh pemandu Grab. Sangat sukar untuk mendapatkan Grab di lokasi-lokasi tertentu, terutama pada waktu puncak.

Menurut seorang pemandu Grab, untuk menarik pemandu, pengguna boleh menggunakan fungsi Note To Driver dan menawarkan tip.

Mungkin itu adil sekiranya lokasi yang hendak dituju sedikit lengang.

Namun begitu, faktor di mana pemandu boleh memilih destinasi ini mungkin akan merumitkan di masa hadapan dan Grab perlu mengawal masalah ini sebelum pemandu mereka menjadi sombong seperti pemandu teksi yang mereka kecam dahulu.

 

 

Satu lagi isu ialah kos tambang perjalanan. 

Pasti sekarang semua sudah tahu bahawa pada awal perkhidmatannya di Malaysia, Uber menghabiskan jutaan RM untuk memberi subsidi kepada pemandu agar harga tambang menjadi rendah.

Sama seperti Grab, di mana ia juga pernah memberi subsidi tambang agar dapat merampas pegangan pasaran.

Sekarang, harga Uber dan Grab sudah lebih tinggi dari dahulu, tetapi syukur Alhamdulillah, masih lebih rendah dari harga teksi yang terpaksa membayar permit dan harga sewa beli yang mahal kepada syarikat konsesi.

Apa yang merisaukan ialah dengan perkhidmatan teksi yang semakin malap dan Uber yang sudah angkat bendera putih, Grab tidak mempunyai pesaing dan mereka boleh mengawal harga tambang.

Bagi pemandu Grab pula, ini mungkin masanya pihak Grab "mendenda" pemandu-pemandu mereka yang diam-diam bekerja dengan Uber juga. 

 

 

Pihak Careta menerima mesej dari seorang pemandu Grab di mana ada pemandu Grab yang dikenakan penalti kerana pernah memandu untuk Uber juga dahulu.

Kami tidak pasti  sama ada mesej itu benar atau palsu tetapi jika sekiranya ia benar,  kita tidak boleh persalahkan Grab kerana itu adalah hak mereka. Penulis pasti syarat lengkap sudah tertulis di dalam syarat perjanjian semasa hendak berkhidmat sebagai pemandu Grab.

 

 

Bagi pihak kerajaan pula, pembelian Uber Asia Tenggara oleh Grab memang meringankan pening kepala Kementerian Kewangan.

Sesiapa yang ingat isu Uber dahulu pasti tahu bahawa kerajaan Malaysia marah kepada syarikat asing itu kerana tidak mahu mengisytiharkan jumlah pendapatan mereka dan tidak mahu dicukai.

Uber memang mempunyai masalah begitu di kebanyakan negara dan ia menjadi punca utama kenapa Uber tidak diterima di negera-negara tersebut.

Namun begitu, Uber akhirnya mengalah sedikit, walaupun tidak sepenuhnya. 

Sekarang, Uber telah gulung tikar di Asia Tenggara (sebenarnya, Uber rugi US$4.5 billion tahun lalu, iaitu RM17.5 billion) dan MOF sudah tidak perlu berfikir lagi mengenai Uber. Grab lebih mesra LHDN dan ini bagus untuk kita rakyat Malaysia kerana negara akan turut mengaut sedikit keuntungan dari Grab.

Apapun, penulis rasa bangga kerana Grab berjaya mengalahkan kuasa asing dan membuktikan bahawa perniagaan tempatan boleh menggunakan kepakaran dan pengalaman pasaran untuk menghasilkan produk yang lebih baik.

Cuma penulis berharap agar Grab tidak akan sambil lewa dengan dominasi yang wujud dan terus menjaga kepentingan konsumer dan juga pemandu Grab. 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Baru-baru ini, syarikat ride-hailing Bolt itu telah menyenaraikan di LinkedIn untuk jawatan…
Berita Domestik
Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penurunan kadar asas daripada RM5 kepada RM4.…
Berita Global
Menurut satu kenyataan, syarikat yang berpangkalan di Berlin itu merancang untuk menjual…